suria

Keluasan masjid tentukan bilangan jemaah, jarak sosial paling utama

Kerajaan hari ini bersetuju melonggarkan syarat untuk mendirikan solat berjemaah dan Jumaat berasaskan keluasan masjid.

JIKA sebelum ini solat jemaah dan Jumaat hanya mengehadkan kepada 30 orang sahaja, kini keputusan dibuat untuk melonggarkan syarat berkenaan.

Selepas prosedur operasi standard (SOP) dibentangkan hari ini, kerajaan bersetuju secara dasar melonggarkan syarat untuk mendirikan solat berjemaah dan Jumaat berasaskan keluasan masjid.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kebenaran itu diberikan jika mematuhi SOP terutama penjarakkan sosial satu meter antara jemaah.

ARTIKEL BERKAITAN: Surau, masjid zon hijau di WP dibenar solat Jumaat, jemaah mulai esok... tak lebih 30 orang - Zulkifli

"Menteri Hal Ehwal Agama (Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri) telah membentangkan dalam mesyuarat khas menteri pagi tadi dan mencadangkan pembukaan masjid diberi kelonggaran.

"Solat berjemaah dan Jumaat dulu kita hadkan hanya 30 orang saja. Tadi kita bersetuju pada dasarnya beri kebenaran (solat jemaah) berdasarkan keluasan masjid. Asalkan ada penjarakkan sosial, kita tiada halangan buka untuk orang ramai solat berjemaah," katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya, pada Sabtu.

Bagaimanapun katanya, kelulusan rasmi untuk membenarkan solat berjemaah dan Jumaat didirikan masih tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) bagi Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Labuan serta raja-raja negeri.

"Kalau diluluskan nanti, SOP itu akan dibentangkan dan mungkin diumumkan oleh Menteri Hal Ehwal Agama. Jadi kita tunggu selepas kelulusan Agong," ujarnya lagi.

Sebelum ini solat Jumaat dan solat berjemaah dibenarkan semula di masjid, surau terpilih dalam Zon Hijau Covid-19 di Wilayah Persekutuan secara berperingkat.

Ia turut menyatakan, syarat bagi bilangan jemaah minimum tiga orang tidak termasuk imam dan tidak melebihi 30 orang.

Selain Wilayah Persekutuan, kebenaran itu turut melibatkan negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak yang Ketua Agama Islamnya ialah YDPA.

Dari segi langkah keselamatan, pihak masjid, surau Jumaat dan surau-surau perlu memastikan adanya kawalan pihak berkuasa seperti polis dan pihak berkuasa agama negeri bagi mengawal keadaan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain