suria

Surau, masjid zon hijau di WP dibenar solat Jumaat, jemaah mulai esok... tak lebih 30 orang - Zulkifli

Solat Jumaat dan solat berjemaah dibenarkan semula di masjid dan surau terpilih dalam Zon Hijau Covid-19 di Wilayah Persekutuan.

SOLAT Jumaat dan solat berjemaah dibenarkan semula di masjid, Surau Jumaat dan surau terpilih dalam Zon Hijau Covid-19 di Wilayah Persekutuan secara berperingkat mulai Jumaat, dengan bilangan jemaah minimum tiga orang tidak termasuk imam dan tidak melebihi 30 orang.

Selain Wilayah Persekutuan, kebenaran itu turut melibatkan negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak yang Ketua Agama Islamnya ialah Yang di-Pertuan Agong.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata kebenaran solat berjemaah itu termasuk bagi solat sunat tarawih dan solat sunat Hari Raya Aidilfitri.

ARTIKEL BERKAITAN: Perlis benar Solat Jumaat bersyarat mulai 15 Mei, jumlah jemaah tidak lebih 12 orang

Beliau berkata Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menerima perkenan cadangan berkenaan yang terdahulu telah diteliti Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.

"Keputusan ini adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pertemuan saya dengan Perdana Menteri pada 12 Mei lepas," katanya pada satu sidang media khas pada Khamis.

Bagaimanapun, Zulkifli berkata bagi negeri-negeri lain, keputusan untuk menerima pakai cadangan berkenaan bergantung kepada pihak berkuasa agama negeri masing-masing seperti mana ditetapkan Perlembagaan Persekutuan bahawa urusan berkaitan hal ehwal Islam berada di bawah bidang kuasa negeri di bawah naungan Raja-Raja bagi negeri-negeri.

Dari segi kehadiran jemaah, beliau berkata Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan pihak berkuasa agama empat negeri berkenaan serta jawatankuasa masjid akan menentukan had bilangan jemaah masing-masing bagi mengelakkan kehadiran orang ramai secara mengejut untuk melaksanakan solat di masjid.

Zulkifli berkata bagi bilangan jemaah Solat Jumaat, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat mengambil pandangan Imam Ghazali dan sebahagian ulama mazhab Shafie yang mengatakan bilangan 20 hingga 40 orang jemaah lelaki sudah cukup untuk melaksanakan Solat Jumaat.

"Buat masa ini, hanya jemaah lelaki diutamakan untuk solat di masjid," katanya.

Zulkifli berkata pihak masjid, surau Jumaat dan surau-surau terpilih perlu memastikan adanya kawalan pihak berkuasa seperti polis dan pihak berkuasa agama negeri bagi mengawal keadaan.

Katanya beliau juga telah berhubung dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berhubung perkara itu dan telah mendapat persetujuan untuk memberi kerjasama penuh.

"Ahli jawatankuasa masjid, Surau Jumaat dan surau-surau terpilih perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dipatuhi sepenuhnya," katanya. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain