suria

Dr Noor Hisham dedah 85 peratus kes positif Covid-19 di madrasah tahfiz tak tunjuk gejala

KKM menyeru penghuni madrasah untuk tampil ke hadapan bagi melakukan ujian saringan di klinik kesihatan atau hospital.

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan hampir 85 peratus kes positif Covid-19 yang dikesan dalam kalangan kumpulan madrasah tahfiz menunjukkan pesakit tidak mempunyai gejala (asymptomatic).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keadaan ini menimbulkan kebimbangan kerana dikhuatiri penghuni madrasah termasuk guru, pelajar dan kakitangan akan menjangkiti keluarga dan orang lain apabila pulang ke kampung pada Hari Raya Aidilfitri kelak.

ARTIKEL BERKAITAN: KKM kenal pasti empat sub-kluster baharu di madrasah - KP Kesihatan

"Daripada 635 kes yang dikesan di kalangan kumpulan madrasah dan tahfiz, 539 kes atau 84.9 peratus adalah tidak bergejala. Kalau kita lihat, hampir 85 peratus tak ada bergejala langsung, dan bergejala hanya 15.1 peratus.

"Jadi kita sekarang bimbang pelajar, guru dan kakitangan madrasah tahfiz bila pulang ke kampung... mereka ingat mereka sihat tapi mungkin mereka boleh menjangkiti dan bawa balik dan menjangkiti keluarga seperti ibu bapa atau datuk nenek," ujarnya dalam sidang media harian Covid-19 pada Khamis.

Oleh itu Dr Noor Hisham menyeru mereka yang berkenaan untuk tampil ke hadapan bagi melakukan ujian saringan di klinik kesihatan atau hospital.

Dalam masa yang sama, Dr Noor Hisham memaklumkan sehingga kini KKM sudah pun melakukan ujian saringan terhadap 370 madrasah yang dikenal pasti.

Daripada jumlah itu, sebanyak 120 madrasah telah menerima kunjungan jemaah tabligh sebanyak lebih lima dari kali dan saringan masih dijalankan terhadap madrasah-madrasah lain.

"Madrasah yang dikenalpasti setakat ini adalah 370 madrasah dan saringan sedang dijalankan. Kita dimaklumkan ada 1,000 madrasah persendirian yang belum tampil menjalankan ujian saringan.

"Apa yang KKM ingin seru kepada pengurusan madrasah persendirian untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Kementerian Kesihatan supaya tindakan saringan dapat dijalankan kepada para pelajar," ujarnya lagi.

Dalam perkembangan berasingan, beliau mengesahkan terdapat tiga kes positif Covid-19 membabitkan pelajar di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

"Kita percaya mungkin mereka terdedah di kafe dan lalin-lain tetapi siasatan sedang dilakukan... yang pasti mereka yang ada gejala kita akan melakukan saringan dan swab, dan juga kita kuarantin rakan-rakan mereka yang terdedah kepada kes positif," ujarnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

madrasah, KKM, simptom, Covid-19

Artikel Lain