suria

KKM kenal pasti empat sub-kluster baharu di madrasah - KP Kesihatan

Empat sub-kluster baharu jangkitan Covid-19 itu dikenal pasti di beberapa madrasah.

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti empat sub-kluster baharu jangkitan Covid-19 di beberapa madrasah, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata sub-kluster berkenaan ialah sub-kluster madrasah di Jerantut (Pahang), sub-kluster madrasah di Penanti (Pulau Pinang), sub-kluster madrasah di Sungai Lui (Selangor) dan sub-kluster madrasah di Jasin (Melaka). 

“Hasil kerjasama rapat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Syura Jemaah Tabligh Masjid Sri Petaling, KKM telah mengenal pasti senarai terkini madrasah dan tahfiz bagi membantu pengesanan kontak rapat kepada kes-kes indeks perhimpunan di Sri Petaling,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di Putrajaya petang Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga lagi pesakit Covid-19 meninggal dunia, 153 kes baharu

Berikut adalah maklumat terkini empat sub-kluster itu:

Sub-kluster madrasah di Jerantut, Pahang:

- Jumlah yang disaring ialah 401 orang.

- 297 orang adalah pelajar dan baki 104 orang merupakan kakitangan dan ahli keluarga kakitangan.

- Jumlah kes positif : 62 kes (telah dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan)

- Jumlah kes sembuh/discaj : 20 kes

Sub-kluster madrasah di Penanti, Pulau Pinang:

- Jumlah yang disaring ialah 291 orang

- 256 orang adalah pelajar dan baki 35 orang merupakan kakitangan.

- Jumlah kes positif : enam kes, dua kes masih dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

- Jumlah kes sembuh/discaj : empat kes

Sub-kluster madrasah di Sungai Lui, Selangor:

- Jumlah yang disaring ialah 282 orang. 274 orang adalah pelajar dan baki lapan orang merupakan kakitangan.

-Jumlah kes positif : 90 kes (telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh dan Pusat Kusta Negara)

- Jumlah kes sembuh/discaj : 67 kes.

Sub-kluster madrasah di Jasin, Melaka:

- Jumlah  yang disaring ialah 137 orang. 122 orang adalah pelajar dan baki 15 orang merupakan kakitangan

- Jumlah kes positif : 37 kes (telah dimasukkan ke Hospital Melaka)

- Jumlah kes sembuh/discaj : satu kes

Dr Noor Hisham turut berkata kesemua kes yang positif telah diasingkan dan diberi rawatan serta KKM akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi mengenal pasti dan menguji semua kontak rapat dalam  kalangan kumpulan yang berisiko tinggi.

Masyarakat juga diseru untuk mengelak daripada mempersalahkan atau mendiskriminasi mana-mana pesakit atau kumpulan yang dikaitkan dengan kluster jangkitan Covid-19.

“Janganlah kita stigmakan mereka. Apa yang penting, adalah kita membantu mengesan dan merawat jangkitan Covid-19 di kalangan mereka yang terlibat, keluarga dan kontak mereka,” katanya. 

Beliau berkata tempoh dua minggu yang akan datang adalah amat penting dan kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan rantaian jangkitan Covid-19 dapat diputuskan. -BERNAMA


sub-kluster, KKM, Covid-19

Artikel Lain