suria

Inspektor polis disyaki culik sebelum rogol dua wanita semasa sekatan PKP ditahan

Pegawai polis berpangkat inspektor itu kini sudah ditahan.

SEORANG pegawai polis didakwa menculik dua wanita warga asing semasa sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum bertindak merogol mereka di sebuah hotel di Petaling Jaya.

Pegawai polis berpangkat inspektor dalam usia 30-an yang sedang bertugas di Petaling Jaya itu bagaimanapun sudah ditahan.

Difahamkan kedua-dua wanita itu ditahan ketika sekatan jalan raya pada Jumaat malam dan dikurung di sebuah hotel berdekatan selama lebih 24 jam sebelum diselamatkan polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, mereka dimaklumkan mengenai insiden itu pada Sabtu dan mula menyiasat kes tersebut.

"Kami menjalankan operasi yang diketuai timbalan saya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood, kerana kes itu bersifat sensitif.

"Kami perlu menjalankan pengawasan sebagai keutamaan bagi memastikan kedua-dua wanita itu tidak lagi dalam keadaan berbahaya," katanya kepada pemberita di Jalan PJU7/1 di Petaling Jaya pada Ahad.

Nik Ezanee berkata polis melakukan dua serbuan di Petaling Jaya kira-kira pukul 9.30 tengah hari Sabtu termasuk di sebuah hotel menempatkan dua wanita warga Mongolia berusia 20 dan 33 tahun itu.

"Inspektor polis itu kini ditahan di lokasi berasingan," katanya.

Artikel Lain