suria

“Kalau hari biasa, boleh guna kuasa mereka” - Ismail tegur PBT benar buka premis ketika PKP, tak selaras keputusan MKN

Operasi bengkel atau premis perniagaan tertakluk kepada peraturan MKN, bukan PBT. Foto: The Star

SEPANJANG tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sehingga 14 April, keputusan untuk membenarkan operasi bengkel atau kilang adalah tertakluk kepada arahan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Kanan yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pada ketika ini, semua peraturan membabitkan premis berkenaan bukan lagi berada di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

ARTIKEL BERKAITAN: SOP zon merah Covid-19 dikenakan perintah lockdown diteliti, Lembah Pantai antara lokasi catat kes tertinggi

ARTIKEL BERKAITAN: PKPD: Penduduk boleh minta bantuan pusat di kawasan masing-masing - “Kalau rindu nak makan daging, boleh suarakan”

"Keputusan untuk membuka atau menutup mana-mana premis perniagaan, kilang dan sebagainya ditentukan oleh MKN. Ini bukan hari biasa. Kalau hari biasa, PBT boleh gunakan kuasa mereka untuk membenarkan tau tak membenarkan premis termasuk bengkel dibuka," katanya pada sidang media pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan yang diajukan pemberita mengenai bengkel di sesetengah negeri yang masih dibenarkan beroperasi, atas alasan mengikut peraturan PBT.

Mengulas lebih lanjut, Ismail sekali lagi menegaskan bahawa setiap peraturan dan SOP di setiap daerah atau negeri perlu diselaraskan dengan kerajaan pusat.

"Waktu ini MKN yang boleh keluarkan arahan dan SOP. Saya amat berharap supaya keputusan yang melibatkan negeri atau daerah mesti selaras dengan kerajaan pusat dan segala keputusan adalah berdasarkan keputusan MKN," ujarnya lagi.

Untuk rekod, pada Ahad, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han berkata kerajaan negeri membenarkan pusat servis kenderaan dan kedai alat ganti di negeri itu beroperasi bagi tujuan kecemasan sepanjang fasa kedua PKP bermula 1 April.

Ujar Exco tersebut, premis berkenaan dibenarkan beroperasi mulai jam 9 pagi sehingga 4 petang setiap hari dan memberi keutamaan kepada barisan hadapan yang perlu keluar bekerja setiap hari dan mereka yang terbabit dalam ‘essential services’. 


bengkel, premis, PBT, MKN, PKP

Artikel Lain