suria

Pencarum KWSP bawah 55 tahun boleh keluarkan Akaun 2, kadar maksimum RM500 sebulan - PM

Muhyiddin menasihati orang ramai supaya menggunakan manfaat yang diberikan kerajaan sebaik mungkin.

KERAJAAN mengumumkan kemudahan pengeluaran i-Lestari bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM40 bilion bagi membantu meringankan beban yang ditanggung rakyat akibat wabak koronavirus (Covid-19).

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata menerusi kemudahan itu, semua ahli KWSP yang berumur bawah 55 tahun boleh membuat pengeluaran wang simpanan dalam Akaun 2 masing-masing tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan.

ARTIKEL PILIHAN: Berita baik! Bayaran balik pinjaman PTPTN ditangguh hingga 30 Jun

"Permohonan boleh dibuat bermula 1 April 2020. Inisiatif ini dijangka akan memanfaatkan sehingga 12 juta ahli KWSP, dengan jumlah pengeluaran yang dianggarkan bernilai RM40 billion.

"Saya berharap inisiatif ini dan juga pengurangan kadar caruman KWSP pekerja sebanyak empat peratus yang berkuatkuasa pada bulan April 2020 akan membolehkan para pekerja mempunyai lebih wang dalam poket masing-masing untuk membeli barang-barang keperluan harian," katanya pada sidang media, Isnin.

Justeru, Muhyiddin menasihati orang ramai supaya menggunakan manfaat yang diberikan itu sebaik mungkin.

"Beli barang-barang yang perlu sahaja dalam waktu yang agak sukar ini. Yang penting, pastikan setiap hari ada makanan di atas meja untuk seisi keluarga. 

"Mungkin juga wang ini sebahagiannya boleh digunakan untuk menampung bayaran bil air atau bil elektrik atau sewa rumah mengikut keperluan masing-masing," katanya.

KKM diberikan peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta. -foto Bernama

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengumumkan tiga lagi inisiatif kerajaan yang diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi bagi membantu rakyat melalui waktu sukar ini.

Antaranya, kerajaan turut bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta kepada Kementerian Kesihatan bagi menyokong usaha menangani Covid-19.

"Peruntukan ini antara lainnya akan digunakan untuk membiayai pembelian peralatan perubatan seperti ventilator dan peralatan ICU, peralatan perlindungan diri (PPE) tambahan bagi kakitangan perkhidmatan perubatan awam serta keperluan makmal untuk saringan Covid-19.

"Untuk menyegerakan pembelian barangan kritikal, kerajaan telah meluluskan tatacara perolehan secara darurat," katanya.

Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM100 juta juga disediakan kepada Kementerian Kesihatan untuk melantik 2,000 kakitangan baharu secara kontrak, terutamanya jururawat.

"Ramai jururawat dan kakitangan hospital yang amat keletihan pada masa ini kerana mereka terpaksa bekerja siang dan malam untuk membuat saringan kes Covid-19 dan merawat mereka yang disahkan positif.

"Saya berharap pengambilan kakitangan baharu ini dapat dibuat dengan segera supaya semua hospital di negara kita mempunyai kakitangan yang mencukupi untuk menangani penularan wabak Covid-19," katanya.

Muhyiddin turut mengumumkan kerajaan bersetuju memberi lanjutkan tempoh bayaran balik pinjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dari tiga bulan kepada enam bulan.

"Penangguhan ini yang berkuatkuasa serta-merta pada hari ini (Isnin) sehingga 30 September 2020 dijangka akan memberi manfaat kepada hampir 1.5 juta peminjam PTPTN," katanya.

Artikel Lain