suria

Pengerusi surau korban ke-11 Covid-19, meninggal Ahad malam

Jenazah warga tempatan berusia 74 tahun (mangsa ke-10) yang meninggal dunia akibat Covid-19 dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Permatang Tok Jaya, Ahad malam. Mangsa ke-10 merupakan seorang lelaki dari kluster jemaah tabligh. -fotoBERNAMA

PENULARAN wabak Covid-19 menyaksikan satu lagi kematian dilaporkan pada Isnin, menjadikan jumlah keseluruhan 11 kematian setakat ini.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kes kematian ke-11 (kes ke-1,070) merupakan seorang warganegara Malaysia berusia 70 tahun dengan latarbelakang penyakit kronik.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli KWSP bawah 55 tahun boleh keluar Akaun 2, kadar maksimum RM500 sebulan - PM

"Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia pada bulan Februari 2020.

"KKM juga dimaklumkan bahawa beliau merupakan pengerusi surau kawasan setempat beliau.

"Beliau telah mula menunjukkan gejala seminggu sebelum dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM pada 18 Mac 2020," ujar KKM pada Isnin.

Tambah KKM, beliau mula menunjukkan gejala seminggu sebelum dimasukkan ke hospital dan disahkan positif Covid-19 pada 19 Mac 2020.

Selepas diberikan bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi (ICU), kesihatannya merosot hari demi hari dan telah disahkan meninggal dunia pada 22 Mac 2020 jam 9.05 malam.

Pada Ahad, KKM mengumumkan 123 kes baharu, menjadikan keseluruhan sebanyak 1,306 setakat ini.

Sementara itu KKM juga telah menubuhkan satu akaun khas bagi membolehkan orang ramai menyumbang.

Jumlah yang diperoleh akan digunakan bagi membeli alat-alat kelengkapan perubatan, keperluan seperti ubat-ubatan, reagen, bahan pakai buang serta keperluan-keperluan perubatan lain yang berkaitan di Fasiliti KKM.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan ke akaun: Sumbangan Perubatan KKM 2-66016-0002347-5 (RHB Bank)

Covid-19, korban, kematian, mangsa

Artikel Lain