suria

“Tak rapat tapi pernah berurusan dengan arwah” - Imam Muda Asyraf terkejut foto dengan pengerusi surau tersebar, tak sertai ijtimak

Gambar yang tersebar menunjukkan Imam Muda Asyraf (depan, dua dari kiri) bersama mangsa ke-11 (bulatan biru) yang meninggal dunia akibat Covid-19 Ahad malam.

JUARA program Imam Muda musim pertama, Asyraf terkejut apabila gambar dia bersama seorang mangsa terbaharu yang meninggal akibat Covid-19 tersebar di media sosial.

Asyraf atau nama sebenarnya Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan berkata dia menerima banyak mesej daripada rakan-rakan dan orang ramai bertanyakan mengenai perkara itu.

"Saya dapat banyak mesej sejak semalam. Saya mula ingat kawan-kawan hantar mesej biasa je, sebab ingatkan nak kait kenal ke orang ni (arwah)? 

ARTIKEL BERKAITAN: Pengerusi surau korban ke-11 Covid-19, meninggal malam Ahad

"Lepas tu bila tengok semua dok pakat mesej macam ni, jadi banyak mesej berantai semua dok sebar. Saya pun tak boleh kata apalah," katanya kepada mStar.

Malah Asyraf mengakui gambar tersebut merupakan gambar lama yang dirakam sewaktu dia mengadakan ceramah di sebuah masjid di Alam Damai, Cheras pada Disember lalu.

Asyraf mendedahkan gambar bersama arwah dirakam pada Disember tahun lalu.

"Ramai ingat saya pergi ijtimak (perhimpunan tabligh)... baru balik ke apa padahal gambar tu gambar lama. Saya ada ceramah dekat masjid Alam Damai bulan 12 tahun lepas.

"Gambar lama tu... lama dah. Kami tak rapat tapi saya pernah berurusan dengan arwah sebelum ini. Saya tak tahu kenapa orang pilih gambar tu.

"Mungkin masa AJK masjid tengah cari dalam fail mungkin gambar tu yang keluar. Tapi bila kita pergi ceramah mana-mana orang akan tangkap gambar dengan kita tu biasalah," katanya.

Dalam pada itu, Asyraf turut meminta orang ramai supaya mendoakan yang terbaik untuk arwah.

"Saya sedia maklum dengan berita pemergian arwah malam tadi. Jadi saya minta orang ramai supaya doakan yang baik untuk arwah. 

"Janganlah pandang serong kepada mereka yang meninggal akibat wabak ini. Wabak ini tak mengenal agama dan bangsa, sesiapa saja boleh terkena," katanya.

KKM mengesahkan individu ke-11 yang meninggal dunia akibat wabak itu.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kes kematian ke-11 (kes ke-1,070) membabitkan seorang warganegara Malaysia berusia 70 tahun dengan latarbelakang penyakit kronik.

"Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia pada bulan Februari 2020.

"KKM juga dimaklumkan bahawa beliau merupakan pengerusi surau kawasan setempat beliau.

"Beliau telah mula menunjukkan gejala seminggu sebelum dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM pada 18 Mac 2020," ujar KKM pada Isnin.

Pada Ahad, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan 123 kes baharu, menjadikan keseluruhan sebanyak 1,306 setakat ini.

Artikel Lain