suria

Pengeluaran Akaun 2 KWSP: Ahli buat permohonan bermula 1 April, duit dijangka masuk akaun bank pada 1 Mei

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengaktifkan i-Lestari di mana ahlinya boleh membuat permohonan pengeluaran daripada Akaun 2 masing-masing bermula 1 April ini. Foto: IZZRAFIQ ALIAS / The Star.

PENCARUM Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)  boleh membuat permohonan pengeluaran i-Lestari daripada Akaun 2 masing-masing bermula 1 April ini.

Ketua pegawai eksekutifnya, Tunku Alizakri Alias berkata, ahli dijangka menerima wang pengeluaran tersebut melalui akaun bank masing-masing pada 1 Mei.

ARTIKEL BERKAITAN: Pencarum KWSP bawah 55 tahun boleh keluarkan Akaun 2, kadar maksimum RM500 sebulan - PM

"Diharapkan kemudahan i-Lestari akan memberikan kelegaan dari segi kewangan kepada mereka yang terjejas dalam keadaan semasa yang tidak menentu.

"Sebagai sebuah institusi dana persaraan, KWSP perlu mengimbangi mandatnya untuk melindungi simpanan persaraan ahli dan pada masa yang sama menjaga kesejahteraan mereka dalam waktu getir sebegini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau, kelonggaran untuk membuat pengeluaran daripada Akaun 2 ahli akan memerlukan pindaan kepada Akta KWSP 1991 di bawah Seksyen 54 (6).

"Kami meletakkan i-Lestari sebagai keutamaan untuk dilancarkan secepat mungkin," katanya lagi sambil mengingatkan ahli tentang kepentingan menyemak kesahihan maklumat terlebih dahulu untuk mengelakkan sebarang penipuan.

"Para ahli diingatkan bahawa KWSP hanya membuat makluman kepada ahli melalui laman sesawang dan saluran media sosial rasmi," ujarnya lagi.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin mengumumkan kemudahan pengeluaran i-Lestari bagi pencarum KWSP berjumlah RM40 bilion bagi membantu meringankan beban yang ditanggung rakyat akibat wabak Covid-19.

Muhyiddin berkata menerusi kemudahan itu, semua ahli KWSP yang berumur bawah 55 tahun boleh membuat pengeluaran wang simpanan dalam Akaun 2 masing-masing tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan.

Berikut adalah butiran mengenai fasiliti pengeluaran i-Lestari Akaun 2 KWSP:

Kemudahan pengeluaran i-Lestari:

*Fasiliti pengeluaran dari Akaun 2 ahli.

*Sehingga jumlah maksimum RM500 sebulan.

*Amaun pengeluaran akan dikreditkan ke dalam akaun bank ahli bermula Mei 2020.

*Untuk tempoh maksimum 12 bulan.

Pendaftaran:

*Bermula 1 April 2020 secara emel dan pos.

*Bermula 1 Mei 2020 secara dalam talian.

Permohonan pengeluaran:

*Disarankan untuk membuat permohonan secara dalam talian kerana proses yang mudah dan cepat (dalam masa 3 hari).

*Permohonan secara manual akan mengambil masa kerana proses pengesahan akan dilaksanakan secara manual.

Butiran selanjutnya akan dipaparkan di laman sesawang, Facebook dan Twitter KWSP dalam masa terdekat.

Ahli KWSP digalakkan untuk sentiasa berwaspada akan sebarang skim penipuan dan hanya berurusan terus dengan pihak KWSP.

Artikel Lain