suria

Meningkat mendadak! 190 kes baharu Covid-19, jumlah terkini di Malaysia 428 kes

Seorang petugas Masjid Jamek Sultan Abdul Samad memeriksa suhu badan pengunjung dan pelancong yang ingin memasuki masjid tersebut sebagai langkah mencegah penularan Covid-19. Foto Bernama

SEBANYAK 190 kes baharu Covid-19 di Malaysia dicatatkan setakat tengah hari Ahad.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan mereka yang dijangkiti virus itu di negara ini adalah 428 kes.

"Sehingga 15 Mac 2020, 12 tengah hari, terdapat 190 kes baharu telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 428 kes.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya stres, sepatutnya doakan ayah cepat sembuh” – Anak bilal positif Covid-19 selepas sertai program tabligh kesal maklumat sulit bapa tersebar

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Lagi 41 kes baru, jumlah terkini di Malaysia 238 kes

"Berdasarkan siasatan awal, kebanyakan kes-kes baharu ini adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dr Adham berkata, penyiasatan dan pengesanan peserta perhimpunan tabligh giat diteruskan.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar peserta perhimpunan tabligh tampil menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran untuk tindakan selanjutnya. 

"Kita juga akan pastikan peserta perhimpunan tabligh akan diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian seksyen 15(1), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk tempoh 14 hari dari tarikh akhir menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling atau kontak rapat kepada kes positif Covid-19.

"Begitu juga untuk kontak rapat kepada kes positif Covid-19, pesakit di bawah pemantaun (PUI) yang tidak mematuhi kriteria kemasukan ke dalam hospital, mereka juga perlu diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian mengikut ketentuan di bawah akta yang sama," katanya.

Menurut beliau, semua Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Pejabat Kesihatan Daerah telah menjalankan aktiviti berkaitan bagi kawalan kejadian Covid-19 dalam kalangan jemaah tabligh dan juga lain-lain kes disyaki membabitkan virus itu bagi mengekang penularan jangkitan.

"Semua pihak dimohon untuk memberi kerjasama rapat kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan bersama-sama membendung penularan ini dengan mengikuti nasihat-nasihat rasmi yang dikeluarkan.

"Rakyat Malaysia diminta tidak menularkan sebarang maklumat yang boleh menyebabkan kebimbangan kepada orang awam," katanya sambil menambah bahawa KKM akan terus memantau perkembangan Covid-19  dan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Dr Adham memberitahu sebanyak tujuh kes positif Covid-19 sebelum ini telah pulih dan dibenarkan keluar dari hospital, menjadikan 43 kes telah pulih sepenuhnya setakat ini.

Artikel Lain