suria

Covid-19: Lagi 41 kes baru, jumlah terkini di Malaysia 238 kes

Setakat Sabtu, Malaysia mencatatkan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 sebanyak 238 kes dengan pertambahan 41 kes baharu. (Gambar sekadar hiasan)

SEBANYAK 41 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan pada Sabtu.

Pertambahan tersebut menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 238 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, daripada kesemua kes baharu yang telah disahkan itu, 37 kes adalah dari kalangan Patient-Under-Investigation (PUI) dan empat kes dari kalangan kontak rapat.

ARTIKEL BERKAITAN: 39 lagi positif Covid-19, terkini Malaysia catat 197 kes

Dalam pada itu, pesakit kes ke-35 dan kes ke-61 yang disahkan positif Covid-19 sebelum ini telah pulih dan dibenarkan keluar dari Hospital Sungai Buloh.

"Ini menjadikan 35 kes telah pulih sepenuhnya setakat ini dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan 203 kes masih dirawat di wad dengan lima daripadanya sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi dan memerlukan bantuan pernafasan.

"Kes-kes ini juga telah diberikan rawatan anti-viral," katanya.

Ujarnya lagi, sehingga 14 Mac 2020, sebanyak 1,321 sampel dari pesakit influenza-like-illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) telah diuji di IMR, makmal kesihatan awam dan hospital.

"Setakat ini tiga sampel positif jangkitan Covid-19. Kesemua kes positif ini berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh," ujarnya lagi.

Dr Noor Hisham juga berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang ramai mematuhi keputusan kerajaan agar semua perhimpunan atau acara sukan, sosial dan keagamaan ditangguh atau dibatalkan mengikut kesesuaian sehingga 30 April ini.  

Malaysia, Covid-19, kes

Artikel Lain