suria

Wanita nafi isteri kedua Najib

Seorang wanita menafikan dirinya telah berkahwin dengan Najib (gambar).

SEORANG wanita memfailkan laporan polis bagi menafikan spekulasi yang tersebar, mengenai dirinya telah berkahwin dengan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Wanita berusia 50-an itu membuat laporan polis selepas gambarnya tular di media sosial dan aplikasi mesej, yang mendakwa dia merupakan ‘isteri kedua’ Najib.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superitendan Rajab Ahad Ismail mengesahkan mereka menerima laporan daripada wanita berkenaan, sambil menambah bahawa pihaknya akan merujuk perkara tersebut kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Ya, kita telah terima laporan itu dan telah membuka siasatan. SKMM juga telah dimaklumkan mengenai kes itu," katanya.

Dalam laporan yang diperoleh The Star, wanita itu, dikenali sebagai Noorhaiza Abdullah, menafikan telah berkahwin dengan Najib.

Dia mendakwa satu halaman Facebook telah memuat naik gambarnya bersama Najib, dengan menyatakan bahawa mereka telah berkahwin.

Dia mendakwa sekeping gambarnya yang lain juga tular dengan keterangtan ‘mengucapkan tahniah’ kepada mereka mengenai perkahwinan yang didakwa itu.

Noorhaiza berkata, dia membuat laporan itu kerana bimbang mengenai keselamatannya dan menggesa pihak polis untuk mengambil tindakan terhadap pengguna Facebook terbabit. - The Star

Artikel Lain