suria

20 lagi dijangkiti Covid-19, terkini Malaysia catat 149 kes

KKM mengesahkan sebanyak 20 lagi kes baharu pada Rabu.

JUMLAH kes koronavirus atau Covid-19 di negara ini terus mencatatkan peningkatan apabila sebanyak 20 kes baharu dicatatkan pada Rabu.

Perkara itu disahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan akhbar sebentar tadi.

Dengan pertambahan 20 kes baharu ini, menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 149 kes.

ARTIKEL BERKAITAN: 12 lagi dijangkiti Covid-19, terkini Malaysia catat 129 kes

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki pulang dari Iran dijangkiti Covid-19, terkini Malaysia catat 117 kes

"Daripada jumlah ini, sebanyak 22 kes dikesan di kalangan Patient-Under-Investigation (PUI) jangkitan Covid-19;124 kes dari kalangan kontak rapat; satu kes dalam kalangan severe acute respiratory infection (SARI) melalui survelan Covid-19 dan dua lagi kes dari Misi Bantuan Kemanusiaan," demikian kata kenyataan itu.

Ia juga berkata, kontak-kontak rapat bagi kes baharu yang dilaporkan juga sedang dikenal pasti dan aktiviti pengesanan kontak rapat masih sedang dijalankan sehingga punca di mana jangkitan ini terjadi dapat dikenalpasti.

Sehingga kini, dua kes dilaporkan berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan, namun masih berada dalam keadaan stabil.

"Daripada dua kes ini, satu kes sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh, manakala satu kes lagi dirawat di Hospital Sultanah Aminah,Johor Bharu," katanya lagi.

Sementara itu, kes ke-78 yang disahkan positif Covid-19 kini sudah pulih dan dibenarkan pulang.

"Ini menjadikan 26 kes telah pulih sepenuhnya setakat ini dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad," katanya.

Dalam pada itu, KKM berkata ia telah menjalankan survelan Covid-19 bagi mengesan kes terpencil atau sporadik di Malaysia melalui pesakit influenza-like-illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) yang tiada kaitan dengan sejarah perjalanan ke negara-negara yang terjejas atau kontak dengan kes positif Covid-19.

"Sehingga 9 Mac 2020, sebanyak 600 sampel (138 SARI dan 462 ILI) telah diuji dansetakat ini satu satu sampel dikesan positif jangkitan Covid-19.

"Siasatan masih sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca jangkitan kessporadik ini," demikian menurut kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, KKM memaklumkan semua 66 rakyat Malaysia dan ahli keluarga yang dibawa pulang dari Wuhan, China melalui Misi Bantuan Kemanusiaan pada 26 Februari 2020, sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah menamatkan tempoh pemantauan di Pusat Pengawasan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT).

"Kesemua mereka tidak bergejala dan semua sampel ulangan bagi mereka telah disahkan negatif," katanya lagi. 

Malaysia, Covid-19

Artikel Lain