suria

Petugas di Ibu Pejabat Sirim positif Covid-19

SIRIM mengesahkan seorang petugasnya positif Covid-19. Gambar sekadar hiasan.

SEORANG petugas Sirim Berhad (Sirim) di Ibu Pejabatnya di Shah Alam, Selangor disahkan positif Covid-19.

Perkara tersebut disahkan oleh Sirim dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dalam kenyataan itu juga, Sirim mengumumkan bahawa syarikat itu telah melaksanakan langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan sebarang kemungkinan risiko virus itu merebak.

ARTIKEL BERKAITAN: Perhatian! KWSP Jalan Raja Laut KL ditutup sementara selepas dikunjungi ahli positif Covid-19

“Pekerja yang berhubung rapat dengan petugas yang dijangkiti itu juga telah menjalani ujian pengimbas seperti yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan dan telah melakukan kuarantin diri sendiri untuk selama 14 hari.

“Kawasan yang terjejas itu dan perkarangan awam telah melalui sanitasi. Kami juga mengambil langkah tambahan seperti menyediakan ubat pencuci tangan di kawasan awam dalam persekitaran bangunan Sirim di sini dan di pejabat-pejabat Sirim negeri.

“Semua pelawat dikehendaki melalui ujian pengimbas di semua tempat masuk serta kerap menjaga kebersihan dan menjauhi kawasan sesak trafik dan kawasan awam setiap hari,” menurut kenyataan itu.

Meskipun pejabat Sirim di tempat lain belum lagi terjejas, syarikat telah mengambil langkah proaktif dengan mengambil langkah berjaga-jaga.

“Kami akan terus kekal berhati-hati dengan ancaman Covid-19 serta mengambil langkah perlu bagi menjaga kepentingan petugas, pelanggan dan pemegang saham kami,” menurut kenyataan itu lagi. - BERNAMA

SIRIM, Covid-19

Artikel Lain