suria

“Dengarlah baik-baik.... Saya bukan pengkhianat!” - Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin memulakan tugas selaku perdana menteri ke-8 negara hari ini.

BUAT pertama kalinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin tampil memberi penjelasan mengenai dakwaan yang mengaitkannya sebagai seorang pengkhianat susulan pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia Kelapan.

Dalam ucapan sulungnya yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen, Muhyiddin menjelaskan bahawa keputusannya menerima pelantikan bagi jawatan berkenaan adalah demi menyelamatkan negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Terjawab sudah... Agong pilih Muhyiddin sebagai PM ke-8, angkat sumpah esok

ARTIKEL BERKAITAN: Selesai angkat sumpah, Muhyiddin kini secara rasmi PM ke-8

"Saya tahu ada yang marah kepada saya. Seperti yang dijangka, ada pihak yang menggelar saya pengkhianat. Dengarlah baik-baik, saya bukanlah pengkhianat.

"Naluri saya jelas bahawa keberadaan saya di sini adalah untuk menyelamatkan negara daripada berterusan dilanda kemelut," ujarnya.

Malahan, beliau juga mendedahkan telah mengambil masa untuk berfikir sedalam-dalamnya sebelum membuat keputusan.

"Apa pilihan yang saya ada? Terus sokong Tun Dr Mahathir (Mohamad) yang tidak mempunyai sokongan majoriti atau menerima pencalonan sebagai perdana menteri?

"Jika saya terus menyokong Tun Dr Mahathir, kemelut politik akan berpanjangan. Berkemungkinan Parlimen terpaksa dibubarkan dan pilihan raya umum perlu diadakan," katanya.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, beliau langsung tidak berniat untuk menimbulkan konfrontasi dengan mana-mana pihak.

SELAMATKAN NEGARA

Ujarnya, jawatan Perdana Menteri bukanlah jawatan yang menjadi idamannya.

"Saya hanya tampil untuk menyelamatkan keadaan apabila kedua-dua calon perdana menteri tidak mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat," ujarnya.

Jelas Muhyiddin, pada peringkat awal, beliau dan semua Ahli Parlimen Bersatu memberikan sokongan padu kepada Tun Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

"Tetapi malangnya beliau gagal mendapatkan sokongan majoriti daripada ahli-ahli Dewan Rakyat yang lain.

"Oleh yang demikian, Yang Di-Pertuan Agong telah mengambil keputusan yang bijaksana dengan menjemput ketua-ketua parti mengemukakan seorang calon lain yang berkemungkinan mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

"Ketika itulah nama saya sebagai calon Perdana Menteri telah dikemukakan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat daripada parti Bersatu dan ketua-ketua parti yang lain," ujarnya lagi.

Muhyiddin juga menambah, beliau telah bertemu dengan Dr Mahathir dan meminta pemimpin tersebut menyokongnya.

"Dalam pertemuan yang disaksikan oleh dua orang tokoh parti, beliau telah menyatakan bahawa beliau bersedia memberi laluan kepada saya sekiranya saya mendapat sokongan majoriti.

"Perkara ini dinyatakan oleh beliau sendiri dalam satu sidang akhbar pada 27 Februari 2020.

"Dengan sokongan itu, saya telah menerima pencalonan saya sebagai perdana menteri," katanya lagi.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Sabtu berkenan memilih Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Kelapan.

Pelantikan itu dibuat selepas Istana Negara mendapat representasi daripada ketua-ketua parti politik.

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kelapan di Istana Negara pada Ahad.



Muhyiddin, pengkhianat

Artikel Lain