suria

KKM: Bekas menteri, timbalan menteri disahkan negatif Covid-19

Dua individu kenamaan yang dikaitkan dengan pesakit Covid-19, disahkan negatif untuk wabak berkenaan. Gambar sekadar hiasan.

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan dua individu kenamaan yang dikaitkan dengan pesakit Covid-19 yang juga kes ke-26, didapati negatif untuk wabak berkenaan.

"Susulan dua individu kenamaan yang dikaitkan dengan pesakit Covid-19 kes ke-26.

"Hasil ujian makmal yang dilakukan di Hospital Sungai Buloh mendapati kedua-duanya adalah negatif," demikian kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu hantaran terkini di Twitter kementeriannya.

ARTIKEL BERKAITAN: KKM sedang siasat laporan bekas menteri, timbalan menteri didakwa dijangkiti Covid-19

Terdahulu, tular di media sosial sejak semalam mengenai seorang bekas menteri dan timbalan menteri dipercayai kontak rapat dengan kes ke-26 positif Covid-19 dan berhubung langsung dengan orang lain termasuk petugas media, sehingga mencetuskan kekhuatiran dan kemungkinan mereka perlu melakukan saringan kesihatan.

Kedua-dua bekas menteri dan timbalan menteri berkenaan dikatakan menghadiri satu majlis apresiasi dan penghargaan yang diadakan untuk mereka di sebuah hotel di ibu negara pada Khamis lepas, yang turut dihadiri seorang Ahli Lembaga UDA Holdings Berhad (UDA) yang disahkan positif Covid-19.

Hantaran terbaharu KKM mengenai dua individu kenamaan yang dikaitkan dengan pesakit Covid-19.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, UDA memaklumkan individu terbabit kini dikuarantin di sebuah hospital kerajaan selepas pengesahan ujian pengesanan Covid-19 baru-baru ini.

Dalam pada itu, bekas menteri yang dikaitkan dengan individu yang disahkan positif Covid-19, turut mengesahkan dirinya negatif jangkitan itu selepas melakukan ujian dan pengesanan penyakit itu.

"Saya sihat, Alhamdulillah," demikian kata bekas menteri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dipetik Bernama. 

bekas menteri, menteri, negatif, Covid-19, KKM

Artikel Lain