suria

Pengusaha lori, penternak didenda angkut 38 lembu tanpa permit

Gambar Hiasan

GARA-GARA memindahkan lembu menggunakan lori tanpa permit yang sah, dua lelaki masing-masing didenda RM5,000 dan RM3,500 oleh Mahkamah Majisret Bahau dekat Jempol, Khamis.

Kedua-dua tertuduh iaitu Wan Noor Zakaria, 51, dan Sharul Basha Shamsuddin, 32, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Khir Nizam Jemari.

Wan Noor yang bekerja sebagai pengusaha lori didakwa memindahkan 26 ekor ternakan lembu hidup dari Negeri Pahang ke Negeri Sembilan menggunakan lori tanpa sebarang dokumen kebenaran bertulis yang sah daripada Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan atau wakilnya manakala Sharul Basha, yang merupakan penternak lembu, pula didakwa memindahkan 12 ekor lembu.

Mereka melakukan kesalahan itu di tepi jalan besar Jempol-Bera berhadapan medan selera dan Jabatan Pengangkutan Jalan, Bandar Seri Jempol Negeri Sembilan, antara 2.55 dan 3.06 petang, 22 Ogos lepas.

Mereka didakwa di bawah perintah Sub Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 (Warta Kerajaan Negeri Sembilan N.S.P.U.9) dan boleh dihukum di bawah Sub Seksyen 36(7) Akta Binatang 1953 jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM15,000.

Majisret kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau enam bulan penjara terhadap Wan Noor jika gagal membayar denda dan hukuman denda RM3,500 atau empat bulan penjara terhadap Sharul Basha.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Raya Jabatan Perkhidmatan Veterinar Tuan Anuar Sulzi Tuan Abdullah dan Fadzilah Abd Karim.

Terdahulu Tuan Anuar Sulzi ketika memohon hukuman berat berkata tindakan tertuduh boleh menyebabkan penyebaran wabak penyakit haiwan di samping memberi pengajaran kepada pengusaha yang lain.- Bernama

lembu, Bahau

Artikel Lain