suria

Air Selangor catat sejarah jadi pemegang lesen tunggal khidmat bekalan air negeri

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menyerahkan kad identiti dengan logo baharu Air Selangor kepada Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Suhaimi Kamaralzaman (kanan) pada majlis perasmian Air Selangor sebagai pemegang Lesen Tunggal Perkidmatan Bekalan Air Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selasa. -foto Bernama

INDUSTRI perkhidmatan air di Selangor mencatat sejarah apabila pengurusannya akan dilakukan secara holistik di bawah satu syarikat iaitu Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), bermula 13 September ini.

Dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan negeri, Air Selangor kini menjadi pemegang lesen bekalan air dan operator tunggal yang akan melaksanakan aktiviti rawatan dan agihan air kepada pengguna di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata setelah melalui tempoh masa yang panjang serta pelbagai cabaran untuk menjadikan pemilikan ini menjadi kenyataan, beliau percaya ia akan memberi manfaat kepada rakyat Selangor.

"Saya percaya kita ada perancangan lebih komprehensif untuk pastikan pengagihan air ke Putrajaya, Wilayah Persekutuan dan Selangor dilakukan secara holistik dan dapat dilaksanakan dengan baik.

"Kita ada satu badan yang bertanggungjawab terhadap air, dari terawat kepada pengagihan... sebelum ini ia terbahagi kepada empat (konsensi) dan inilah (satu operator) yang diamalkan di negeri-negeri lain seperti Air Perak dan Air Johor, cuma di Selangor ia mengambil masa yang panjang kerana ia melibatkan banyak syarikat, kita kena runding satu persatu, ambil masa 10 tahun," katanya.

Amirudin Shari (tengah) menyempurnakan perasmian logo baharu Air Selangor, Selasa. -foto Bernama

Amirudin ditemui pada Majlis Perasmian Air Selangor Sebagai Pemegang Lesen Tunggal Perkhidmatan Bekalan Air di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan
Putrajaya, di Kuala Lumpur, Selasa.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Suhaimi Kamaralzaman dan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) Charles Anthony Santiago.

Menurut Amirudin, kejayaan penstrukturan ini juga menandakan semua syarikat konsesi air ditamatkan selepas Air Selangor berjaya menyempurnakan pengambilalihan empat syarikat konsesi air milik swasta iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB Water), Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS), Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) serta Konsortium Air Selangor Sdn Bhd (KASB).

Pengambil alihan kelima-lima syarikat ini melibatkan kos sebanyak RM4.179 bilion.

Mengenai kemungkinan berlakunya kenaikan tarif air, Amirudin berkata ia memerlukan semakan kerana proses pengambil alihan serta menaik taraf sememangnya memerlukan kos.

"Setakat ni saya tak dapat ilham lagi, apa yang saya nak sebut semuanya ada harga dan kita juga harus tunjuk apa yang kita lakukan... kita dah tukar 438km paip, kita dah bina loji rawatan, kita belanjakan RM1.1 bilion walaupun tak dapat lesen lagi dari kerajaan Persekutuan sebagai operator tunggal.

"Ini semua perlukan kos dan dana dan dengan kadar air yang ada sekarang memang kita perlukan semakan. Kita perlukan formula, saya tunggu negeri lain untuk kita buat sama supaya kita tak ada tekanan langsung terhadap ini," katanya.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari (dua, kanan) diberi penerangan oleh Ketua Jabatan Pengagihan Air Selangor Kelvin Siew (kanan) ketika melawat Air Selangor Intelligence Command Centre (ICC) pada majlis perasmian Air Selangor sebagai pemegang Lesen Tunggal Perkidmatan Bekalan Air Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selasa. Turut kelihatan Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Suhaimi Kamaralzaman. -foto Bernama

Untuk rekod, selepas mengambil alih dua syarikat konsensi pada Oktober 2015, kerajaan negeri dan Air Selangor telah membina dan menyiapkan dua loji rawatan air baharu iaitu Loji Rawatan Air Semenyih 2 dan Loji Rawatan Air Labohan Dagang dengan jumlah kos RM800 juta bagi meningkatkan rizab margin air terawat di Selangor.

Kerajaan negeri juga menyalurkan bantuan dalam bentuk geran dan pinjaman sebanyak RM324.3 juta bagi melaksanakan kerja-kerja penggantian paip lama
melebihi 438km di Selangor dan Kuala Lumpur.

Bagi jangka masa panjang Air Selangor telah merangka dan merancang pelaksanaan kerja-kerja kapital secara berterusan melalui pelan perniagaan 30 tahun dengan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM30 bilion.

Artikel Sebelum

Penggali kubur jumpa bom

Artikel Berikut

Artikel Lain