Seorang daripada tiga pemancing yang hilang ditemui maut - Semasa | mStar

Seorang daripada tiga pemancing yang hilang ditemui maut

Seorang daripada kumpulan tiga pemancing dari Sarawak, yang sebelum ini dilaporkan hilang ketika keluar memancing, ditemui mati di perairan Lawas.

SEORANG daripada kumpulan tiga pemancing dari Sarawak, yang sebelum ini dilaporkan hilang ketika keluar memancing, ditemui mati di perairan Lawas, pagi Selasa, manakala dua lagi masih hilang.

Mangsa yang ditemui mati itu kira-kira jam 8.50 pagi itu dikenali sebagai Yee Chon Tiong, 30, manakala dua lagi yang masih hilang, Faruk Arina Ahmad Sabri, 29, dan Mohd Amirul Bahar, 26.

Ketiga-tiga pemancing itu dikatakan keluar memancing pada Isnin, dan sepatutnya pulang pada 6 petang hari yang sama.

Ketua Angkatan Pengkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan, Kepten Che Adnan Md Isa berkata, salah seorang daripada isteri pemancing tersebut melaporkan suaminya Faruk Arina dan dua rakannya pergi memancing di sekitar Pulau Sari pada jam 5 pagi Isnin dan membuat laporan selepas mereka gagal pulang.

“Kami melancarkan gerakan mencari dan menyelamat mulai jam 12 tengah malam tadi dan operasi masih diteruskan bagi mencari dua lagi yang masih hilang,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di Labuan, Selasa.

Katanya, operasi itu turut disertai Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam dan juga Agensi Maritim Diraja Brunei serta nelayan tempatan. - Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain