Jangan biadap dengan PM - Akmal - Semasa | mStar

Jangan biadap dengan PM - Akmal

Akmal membersihkan kawasan yang digunakan pada selepas Program Korban Perdana Bersatu Bahagian Lumut, Selasa.

KETUA Armada Bersatu Lumut, Akmal Maradzi menganggap tindakan Charles Santiago sebagai tidak bertanggungjawab.

Akmal berkata, tindakan Ahli Parlimen Klang  itu tidak bertanggungjawab kerana bukan sahaja gagal memahami tatacara pentadbiran tetapi juga cuba mewujudkan perpecahan dalam Pakatan Harapan (PH).

"Armada Bersatu Lumut melihat tindakan Charles ini sebagai amat biadab dan tidak mengetahui hal pentadbiran kerajaan.

"Beliau diingatkan supaya jangan biadap dengan menuduh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir kononnya membuat keputusan secara bersendirian berkaitan dengan pentadbiran kerajaan termasuklah dalam isu tulisan Jawi dan seni Khat di sekolah.

"Sedangkan setiap keputusan dibuat hendaklah melalui Kabinet dan Majlis Pimpinan Presiden (MPP) PH," katanya selepas menghadiri Program Korban Perdana Bersatu Bahagian Lumut di Seri Manjung pada Selasa.

Pada masa sama, Akmal juga menempelak Charles dengan mempersoalkan Ahli Parlimen Klang itu mengapa tidak merujuk dahulu dengan pimpinan DAP sebelum melontarkan tuduhan yang tidak berasas tersebut.

"Apakah beliau (Charles) ini amat malas membuat kajian atau bertanyakan kepada pimpinan DAP sebelum mengeluarkan kenyataan sedemikian terhadap Perdana Menteri melalui Facebook rasminya.

"Isu tulisan jawi dan khat ini diputuskan dalam mesyuarat jemaah menteri yang mana ada angotanya adalah daripada parti DAP. Apakah kerana sikap rasis, beliau cuba menutup fakta itu," katannya.

Pada masa sama, Akmal turut melahirkan kebimbangan terhadap tindakan Charles itu yang seolah-olah bermotifkan politik dengan menghasut rakyat khususnya bukan untuk menolak usaha kerajaan melaksanakan tulisan Jawi dan seni khat di sekolah.

Akmal , armada , jangan biadap