suria

KPM sahkan tiada penuntut Malaysia terlibat dalam serangan masjid NZ

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) mengesahkan tiada penuntut Malaysia terlibat dalam insiden tembakan rambang yang berlaku di Christchurch, New Zealand pada Jumaat.

Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, pihaknya telah menghubungi wakil penuntut daripada dua universiti yang menempatkan pelajar dari negara ini bagi mengesahkan jumlah keseluruhan pelajar.

"Terdapat dua universiti di Christchurch yang ada penuntut dari Malaysia, iaitu Universiti Canterbury dan Universiti Lincoln.

"Education Malaysia (EM) telah menghubungi wakil pelajar daripada kedua-dua universiti dan mengesahkan jumlah penuntut Malaysia; Universiti Canterbury seramai 270 orang dan Universiti Lincoln seramai 33 orang," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Setakat pukul 5 petang Jumaat, KPM menerusi bantuan EM memberitahu kebanyakan pelajar berada di universiti mereka sewaktu serangan itu berlaku.

Dalam pada itu, menteri pendidikan berkenaan turut mengutuk tragedi yang berlaku di dua masjid di Christchurch itu.

"Saya amat menentang dan mengutuk perbuatan jahat yang dilakukan oleh pengganas yang menyerang orang Islam di masjid-masjid di Christchurch, New Zealand," ujarnya.

Pada masa sama, KPM menasihatkan agar pelajar Malaysia di New Zealand terutamanya di Christchurch mengambil langkah berjaga-jaga, selain mengikuti perkembangan semasa dan mengikuti arahan daripada pihak berkuasa tempatan.

Terdahulu, media melaporkan seorang rakyat Malaysia cedera dalam insiden tembakan di sekitar masjid di Christchurch, New Zealand pada Jumaat.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand mengesahkan kejadian berkenaan berkata mangsa yang cedera itu sedang menerima rawatan.

“Kami sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada semua pihak berkaitan,” katanya.

Sementara itu, dalam laman Facebook rasmi Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di negara berkenaan meminta rakyat Malaysia menetap di New Zealand khususnya Christchurch agar memeriksa keluarga dan rakan jika tercedera atau terlibat dalam kejadian tembakan di sekitar masjid di Christchurch.

“(Orang ramai) boleh menghubungi Pesuruhjaya Tinggi di talian +64-210440188 atau +64220662118 atau e-mel kami di [email protected]. Sila ikuti arahan lanjut daripada pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” katanya.

Artikel Lain