suria

Peniaga online didakwa menipu jual tiket penerbangan murah berjumlah RM51,800

Gambar hiasan.

SEORANG lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Butterworth pada Jumaat atas 18 pertuduhan menipu 14 mangsa berhubung penjualan tiket penerbangan murah melibatkan wang berjumlah RM51,800, dua tahun lepas.

Muhammad Fahmiezul Helmi Abdull Majid, 27, didakwa memperdayakan 14 mangsa itu dengan menawarkan penjualan tiket penerbangan murah ke pelbagai destinasi dalam dan luar negara antaranya Sabah, Korea, Australia, Indonesia serta India.

Tertuduh yang juga seorang peniaga dalam talian didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Jalan Cempedak 5, Tasek Gelugor antara 10 Dis 2017 hingga 6 Mei 2018.  

Dia dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Ruzanna Abdul Rahim dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon jaminan yang rendah atas alasan anak guamnya menjaga ibunya yang sakit dan tertuduh juga berhasrat memulangkan semula wang kepada semua mangsa yang terlibat.

Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM32,200 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 April ini untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aisyah Al Humayrah Kamaruzaman.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang dikenali sebagai 'Popo' menggunakan laman sosial Facebook dengan nama 'Popo Maembong Enterprise' menawarkan harga tiket penerbangan jauh lebih murah daripada harga biasa.

Antara tiket penerbangan dalam negara yang ditawarkan adalah tiket penerbangan pergi dan balik ke Kota Kinabalu, Sabah; Johor dan Langkawi, Kedah dengan bayaran serendah RM79 seorang manakala bayaran tiket penerbangan ke Korea; Jepun; Melbourne, Australia dan Kalkutta, India serendah RM599 termasuk caj bagasi.

Bagaimanapun, akaun Facebook milik tertuduh itu didapati tidak aktif dan telah ditutup pertengahan tahun lepas. - Bernama

tiket penerbangan murah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain