suria

Pencemaran kimia: Belum ada tangkapan - Fuzi

TIADA sebarang tangkapan dibuat setakat ini berhubung pencemaran bahan kimia di Pasir Gudang, Johor, menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata polis giat menjalankan siasatan bagi mengesan pihak tidak bertanggungjawab yang terlibat dengan insiden itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak perlu pemindahan di Pasir Gudang - Dr Mahathir

“Kita telah terima 51 laporan polis, kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 278 Kanun Keseksaan (menjadikan udara berbahaya kepada kesihatan) dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan (kelakuan cuai berkenaan dengan benda beracun),” katanya pada sidang media ketika ditanya mengenai perkembangan kes pencemaran bahan kimia itu.

Beliau berkata kira-kira 150 anggota termasuk daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) ditempatkan bagi memantau dan mengawal kawasan pencemaran itu.

Kejadian pencemaran bahan kimia yang menjejaskan kesihatan lebih 2,000 orang awam dan menyebabkan 111 sekolah di Pasir Gudang diarah ditutup itu dipercayai susulan pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim yang dilaporkan pada 7 Mac.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Fuzi berkata pihaknya menerima lebih 50 laporan polis berhubung himpunan Hari Wanita Sedunia pada Sabtu lepas dan sedang melengkapkan siasatan kes berkenaan.

“Mereka tidak mengikut prosedur yang betul, disebabkan itu kita tak keluarkan kebenaran. Bila ada laporan polis kita siasat secepat mungkin untuk serahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.  

“Kita siasat sebab tak bagi notis pun mereka teruskan...untuk kata kita jangan siasat sebagainya itu bukan tanggungjawab mereka...tapi tanggungjawab PDRM (Polis Diraja Malaysia) (untuk siasat),” katanya. - Bernama

Artikel Lain