suria

Malindo Air perkenal 'Super Saver'

MALINDO Air memperkenalkan 'Super Saver' - kumpulan tambang baharu untuk menyasarkan segmen pasaran berbeza, yang membolehkan penumpang membuat pilihan ke atas bagasi dan makanan pilihan.

Dalam kenyataan pada Jumaat, Malindo berkata Super Saver disediakan untuk kelas ekonomi penerbangan Boeing dan ATR.

"Semasa proses tempahan, pilihan untuk Super Saver, Value, Flexi dan Perniagaan akan dipaparkan bagi penerbangan yang berlepas dari KLIA, manakala bagi penerbangan ATR, pilihan Super Saver, Value dan Shuttle/Flexi juga dipaparkan untuk pilihan," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chandran Rama Muthy berkata kumpulan tambang baharu itu akan menjadi pilihan yang sesuai untuk pelancong yang tidak membawa bagasi dan tidak memerlukan makanan di atas pesawat.

"Pengumuman ini tepat pada masanya ketika kami meraikan ulang tahun keenam, Splendid, bulan ini. Kami melancarkan kempen jualan ulang tahun hari ini, dengan tambang sehala daripada RM59 sahaja.

“Untuk masa hadapan, kami mahu mengekalkan sentuhan pelanggan dan menjadikannya pengalaman penerbangan yang lebih baik setiap kali anda terbang bersama kami," katanya.

Untuk jualan kempen ulang tahunnya, beliau berkata tempahan kini boleh didapati di laman web Malindo Air www.malindoair.com, pejabat tiket, pusat perkhidmatan pelanggan dan ejen pelancongan pilihannya. - BERNAMA

Malindo Air, Super Saver

Artikel Lain