Berbaloi terbang dari Qatar, bapa bangga 4 anak kembar catat keputusan cemerlang SPM - Semasa | mStar

Berbaloi terbang dari Qatar, bapa bangga 4 anak kembar catat keputusan cemerlang SPM

empat kembar memperolehi keputusan cemerlang.Foto:Thestar

HASRAT seorang jurutera terbang dari Qatar untuk bersama-sama empat anak kembarnya ketika mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan Khamis ternyata membuahkan hasil apabila masing-masing dua lelaki dan perempuan itu memperolehi keputusan cemerlang.

Syed Nurshadir Syed Ibrahim Al-Jamallullail sanggup pulang ke Malaysia untuk berada bersama anak-anaknya pada hari yang penuh debaran itu, malahan bapa berusia 52 tahun pertama kali berbuat demikian dan ditakdirkan ia menjadi momen terindah buat mereka sekeluarga.

Empat anak kembarnya memperolehi keputusan berbeza di mana Sharifah Nazira mendapat 5A,3B dan 1C manakala Syed Nazrin (8A dan 2B), Syed Nadzmi (3A, 1B, 4C, 1D, 1E) dan Sharifah Nadira pula mencatat keputusan 7A dan 2B.

Kesemua kembar itu bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam, kecuali Syed Nazrin yang bersekolah di Sekolah Dato' Abdul Razak di Seremban, salah sebuah sekolah yang tertua di Malaysia.

Syed Nurshadir yang tidak berjumpa dengan anaknya sejak Januari lalu berpuas hati dengan keputusan mereka.

"Mereka patut gembira dengan pencapaian masing-masing kerana telah berusaha sebaik mungkin untuk dapatkan keputusan itu kerana ia hasil titik peluh sendiri," katanya.

Menurut ibu kepada empat kembar itu, Saidatul Nazura Mohd Sabi,51, dia sentiasa mengawasi pembelajaran anak-anaknya dan membentuk mereka supaya berdisiplin, malahan mereka saling membantu dan berdikari serta bersaing antara satu sama lain.

"Mereka nampak jenis bermain-main, tetapi apabila waktu belajar, mereka akan fokus belajar sekali," kata Saidatul Nazura.

Sharifah Nadira yang juga anak bongsu daripada empat beradik itu berkata:"Kami bersaing antara satu sama lain, dan anggap ia adalah satu langkah positif."

Dalam pada itu, anak sulung iaitu Sharifah Nazira berkata dia sangat bangga dengan pencapaian adik-beradiknya.

"Saingan yang sengit apabila tiga beradik lain juga ambil SPM. Bila tengok adik yang lain belajar, saya rasa macam teruk bila tak ikut belajar sekali," tambah Sharifah Nazira.

Sementara itu, Syed Nadzmi berpuas hati apabila lulus subjek Matematik Tambahan manakala Syed Nadzri menyatakan apabila berjauhan dengan kembarnya, dia terpaksa berusaha lebih untuk belajar tanpa mereka di sisi.

Empat kembar tersebut berhasrat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang arkitek, perniagaan, komunikasi dan multimedia serta kesenian fesyen.-thestar

spm , kembar

Artikel Berikut

Lebih Artikel