suria

Mayat penumpang jatuh feri ditemui terapung di Jeti Swettenham

Mayat tersebut ditemui terapung pagi Ahad. - Foto Facebook

MAYAT seorang lelaki dipercayai penumpang sebuah feri yang didakwa terjatuh dari feri berkenaan, Jumaat lepas akhirnya ditemui berhampiran Jeti Swettenham, di sini selepas tiga hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata mayat lelaki tanpa sebarang pengenalan diri itu ditemui terapung oleh orang awam kira-kira pukul 10.30 pagi sebelum memaklumkan perkara itu kepada polis.

“Hasil pemeriksaan menemui wang RM1, kunci motosikal dan sebuah telefon bimbit bersama mayat lelaki itu, namun kami tidak menjumpai sebarang dokumen pengenalan diri bersamanya,” katanya di George Town, Pulau Pinang pada Ahad.

Beliau berkata mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jeti Pangkalan Polis Marin Batu Uban, di sini sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang berkata sehingga hari ini, polis masih belum menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak berhubung kejadian orang hilang.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang kehilangan anggota keluarga atau rakan untuk tampil membuat pengecaman.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.20 pagi Jumaat seorang penumpang feri terjatuh ke dalam laut di 1.2 kilometer Barat Laut berhampiran Terminal Feri Butterworth.

Pelbagai agensi terdiri daripada pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), APMM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) terlibat dalam operasi SAR berkenaan.

Operasi SAR digerakkan pukul 9.50 pagi Jumaat sebaik APMM menerima laporan seorang mangsa dikhuatiri hilang selepas jatuh dari Feri Pulau Undan Pulau Pinang. - BERNAMA

feri, jatuh

Artikel Lain