suria

Wan Azizah akan temui Mujahid bincang isu subsidi jemaah haji

DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata beliau akan mendapatkan perincian daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof bagi membincangkan isu subsidi jemaah rayuan dan jemaah pengiring mahram haji.

Timbalan Perdana Menteri berkata perkara itu akan diteliti setelah beliau mendapat penjelasan daripada menteri berkenaan.

"Itulah, saya nak teliti, sebab saya belum lagi dapat perincian. Saya nak dapatkan (perincian) dahulu daripada menteri agama," katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir pada Majlis Rumah Terbuka sambutan Tahun Baharu Cina Parlimen Wangsa Maju di Kuala Lumpur, Ahad.

Sebelum ini, tular satu kenyataan yang mendakwa bahawa individu yang merayu atau pengiring mahram ke Tanah Suci tidak layak mendapat subsidi haji seperti sebelum ini sebagaimana satu jawapan di Facebook Lembaga Tabung Haji (TH).

Pada Sabtu, Mujahid berkata kerajaan tidak pernah mengeluarkan kenyataan berhubung penghapusan subsidi kos mengerjakan haji bagi bakal jemaah yang pergi atas tiket rayuan atau sebagai pengiring mahram.

Sebaliknya, kata beliau, perkara itu adalah atas budi bicara TH yang akan membuat pertimbangan berdasarkan kemampuan individu terbabit.

Sebelum itu, semasa berucap pada majlis tersebut, Dr Wan Azizah berkata kadar inflasi yang dicatatkan 1.0 peratus membuktikan kerajaan Pakatan Harapan dapat menjana semula ekonomi negara.

"Kadar inflasi pada tahun lepas hanya 1.0 peratus dan ini merupakan kadar yang paling rendah sejak tahun 2009. Ini jauh lebih rendah daripada 3.7 peratus yang dicatat pada 2017.

"Ini adalah satu usaha yang berterusan tetapi langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan dalam sembilan bulan ini telah mula menunjukkan hasil," katanya.

Dr Wan Azizah berkata kerajaan turut menghadapi banyak kekangan ketika mengambil alih negara berikutan masalah hutang negara.

"Kita mahukan negara kita maju, kaya dan kita nak rakyat hidup selesa dengan kualiti hidup yang lebih baik," katanya. - BERNAMA

subsidi, haji

Artikel Lain