suria

Polis siasat dakwaan Syed Saddiq diugut

Syed Saddiq selepas membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Way mengenai kejadian kekecohan yang berlaku ke atas dirinya di Semenyih pagi Sabtu. - Bernama

DUA laporan polis berkaitan insiden melibatkan Ketua Armada BERSATU Syed Saddiq Syed Abdul Rahman setelah berlangsung majlis penamaan calon bagi Pilihan Raya  Kecil Semenyih, disiasat di bawah Seksyen 353 dan Seksyen 147/323 Kanun Keseksaan.

Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata polis menerima dua laporan tersebut daripada anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kajang.  

ARTIKEL BERKAITAN: Syed Saddiq dakwa kena 'headlock', tapi Papagomo kata cuma peluk dengan lembut

“Kertas siasatan dibuka susulan insiden Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang mendakwa dikasari dan diugut blogger kontroversi Papagomo.

“Laporan pertama disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipannya dan pengadu mendakwa telah dikasari dan dipukul dari arah belakang ketika melindungi YB Menteri.

“Manakala laporan kedua telah diterima daripada pengadu iaitu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Menteri Belia dan Sukan) yang dibuat di Balai Polis Sg Way Petaling Jaya yang disiasat di bawah Seksyen 147/323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan dan merusuh,” katanya dalam kenyataan itu.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat tentang insiden berkenaan diminta memberikan maklumat dengan berhubung kepada Pegawai Penyiasat Kes iaitu ASP Radzee B Jamudi di talian 0196655811 dan Insp Sallena di talian 0176424007.

Berikutan insiden tersebut Syed Saddiq telah membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Way, petang Sabtu.

Klip video yang tular di media sosial memaparkan Syed Saddiq dikerumuni penyokong parti pembangkang sewaktu dalam perjalanan menuju ke keretanya selepas selesai proses penamaan calon bagi PRK Semenyih.

Video berdurasi 22 saat itu menunjukkan Syed Saddiq diiringi oleh anggota polis serta anggota Unit Amal PAS sambil dikejar sekumpulan lelaki. - Bernama

Syed Saddiq, PRK Semenyih

Artikel Lain