suria

Shafa’aton, Nurulhuda kongsi reaksi awal ketika dilantik jadi OCPD wanita pertama Selangor

Supritendan Shafa'aton kini bergelar OCPD Sungai Buloh.

JARANG kita dapat lihat seorang pegawai wanita mengetuai sebuah daerah polis.

Ketua Polis Daerah (OCPD) Sungai Buloh, Supritendan Shafa'aton Abu Bakar dan OCPD Klang Utara, ACP Nurulhuda Mohd Salleh berkongsi banyak persamaan.

Selain daripada menjadi ketua polis daerah di Selangor, mereka adalah wanita solo berusia 40-an dan memiliki latar belakang dalam Jabatan Siasatan Jenayah (CID).

Pada 15 Nov 2018, Supritendan Shafa'aton melakar sejarah sebagai OCPD wanita pertama Selangor.

Seminggu kemudian, pada 13 Disember, ACP Nurulhuda mengikut jejak langkahnya selepas dilantik untuk mengetuai daerah Klang Utara.

"Apabila saya mendapat berita bahawa saya akan dinaikkan pangkat, saya takut.

"Sampai tahap saya menyimpan berita itu pada diri saya sendiri selama tiga hari.

"Saya bertanya kepada diri sendiri sekiranya saya bersedia untuk melakukannya. Tetapi saya mendapat sokongan daripada rakan-rakan polis," kata Supritendan Shafa'aton.

ACP Mazelan Paijan menyerahkan tugas kepada ACP Nurulhuda sambil disaksikan oleh Komisioner Datuk Mazlan.

ACP Nurulhuda turut berkongsi kebimbangan yang sama.

"Saya mendapat nasihat daripada senior saya, termasuk daripada ketua polis sebelum saya. 

"Mereka memberitahu saya untuk memantau kebajikan pegawai dan terus mengawasi tren jenayah semasa.

"Keluarga juga prihatin dengan saya, tetapi saya meyakinkan mereka bahawa saya sudah bersedia," kata ACP Nurulhuda.

Malah, kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia seperti Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Mazlan Mansor bercakap secara peribadi untuk meyakinkan mereka.


"Komisioner Datuk Mazlan juga memberitahu kami berdua agar bersedia untuk menerima permintaan temu bual daripada pihak media!" Kata ACP Nurulhuda.

Walaupun sudah beberapa bulan mereka berdua dilantik sebagai OCPD, jenayah tidak pernah berhenti.

Untuk 2019, misi utama dua figura itu adalah untuk mengurangkan kadar jenayah di daerah masing-masing.

Statistik jenayah di kedua-dua daerah di Klang Utara dan Sungai Buloh menunjukkan penurunan ketara (sekitar 24.22% dan 14.7%) pada 2018, berbanding 2017.

Namun, kedua-dua ketua polis wanita perkasa dan tegas itu nekad untuk merendahkan lagi kadar jenayah.

"Kepolisan komuniti sangat penting untuk kerja kami dan sasaran kami pada tahun ini adalah untuk memberi tumpuan lebih kepada aspek itu," kata ACP Nurulhuda. - The Star

OCPD

Artikel Lain