127 pelajar bertuah sertai Program Semarak Ilmu 2019 - Semasa | mStar

127 pelajar bertuah sertai Program Semarak Ilmu 2019

Pelajar-pelajar dari sepuluh buah negeri menyertai Program Semarak Ilmu yang berlangsung di Ulu Yam pada Sabtu.

SERAMAI 127 orang pelajar terdiri daripada sepuluh buah negeri terlibat bertuah terpilih menyertai Program Semarak Ilmu 2019 yang diadakan di Nur Laman Bestari, Ulu Yam, Selangor.

Majlis tersebut merupakan program jalinan kerjasama di antara Maybank Islamic Berhad dan Yayasan Pelajaran Mara (YPM).

Menurut Pengurus Kanan Bahagian Pendidikan YPM Mat Zailani Mat Nawani, majlis ini dianjurkan untuk mengerat silaturahim antara pelajar-pelajar penerima manfaat Program Semarak Ilmu bersama pengurusan Maybank Islamic Berhad dan juga pegawai-pegawai YPM.

“Ia diadakan secara santai bagi membolehkan pihak penaja bertemu pelajar-pelajar yang ditaja di samping mendapat maklum balas dan rasa penghargaan dari penerima manfaat secara langsung kepada pihak Maybank Islamic Berhad.

“Program pendidikan bersepadu ini dirangkakan kemudahan pembelajaran, bimbingan dan pemantauan yang sistematik oleh YPM.

“Budaya belajar yang betul dan berkesan serta motivasi diri disemai kepada setiap pelajar yang mana aspek ini sukar diperolehi oleh pelajar dari keluarga mereka. Hasilnya, Program Semarak Ilmu ini telah mula membuka minda semua pelajar untuk menjadi generasi penerus kemajuan bangsa yang lebih produktif dan berdaya saing,” ujarnya ketika merasmikan majlis pada Sabtu.

Jelas Mat Zailani, hubungan Maybank Islamic Berhad dengan YPM sudah lama terjalin.

“Kerjasama bdengan Maybank Islamic Berhad dalam mengendalikan program-program YPM yang dinamakan sebagai Program Semarak Ilmu sejak tahun 2013 dengan peruntukan bantuan lebih RM12 juta.

“Kita ucapkan terima kasih di atas keperihatinan Maybank Islamic Berhad,” ujarnya.

Bagi tahun 2019 seramai 127 orang pelajar dari negeri Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Terengganu, dan Kelantan terlibat dalam program tersebut.

Manakala Maybank Islamic Berhad meneruskan komitmen bersama YPM dengan memberikan sumbangan berjumlah RM3,283,050.00 bagi meneruskan pembiayaan beberapa program pendidikan kepada anak-anak yang memerlukan meliputi penajaan untuk Program Skim Anak Angkat, Ulul Albab Generation, B40 Bursary dan Semarak Ilmu Challenged Grant.

YPM , Maybank Islamic Berhad

Artikel Berikut

Lebih Artikel