Pemandu rentung, kereta BMW terbabas rempuh pokok, terbakar - Semasa | mStar

Pemandu rentung, kereta BMW terbabas rempuh pokok, terbakar

Kenderaan BMW terbabit hangus 100 peratus.

SEORANG pemandu rentung selepas kereta BMW dipandunya terbakar dalam kemalangan di Jalan PJU 1A/1 menghala ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTAAS) Subang.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata siasatan awal mendapati kereta tersebut terbabas lalu merempuh sebatang pokok kita-‏kira pukul 4.45 pagi Ahad.

"Impak kemalangan menyebabkan kereta tersebut terbakar. Anggota bomba yang dikejarkan ke lokasi kejadian mengambil masa selama 15 minit untuk memadam kebakaran," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata identiti pemandu sukar dikenal pasti kerana kenderaan terbabit hangus 100 peratus.

"Kami sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti mangsa seterusnya mengesan waris," katanya.

Menurut Mohd Zain, mangsa telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd. Nazreen Nasharuddin di talian 010-2105101,” ujarnya.

rentung , kemalangan

Artikel Berikut