suria

Calon pelajar cemerlang SPM cari duit sambung belajar hampir pasti masuk MMU, dapat tawaran biasiswa!

Ahmad Rafi menyampaikan cenderahati kepada Adrianna Eva semasa pelajar lepasan SPM itu berkunjung ke MMU pada Isnin.

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa tahu! Impian Adrianna Eva Alfred Tais, 18 yang kisahnya tular baru-baru ini kini semakin hampir menjadi kenyataan.

Siapa sangka hasrat calon pelajar cemerlang Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2018 itu untuk mengambil jurusan perundangan di Universiti Multimedia Malaysia (MMU) turut menarik perhatian pihak pengurusan universiti tersebut.

Presidennya, Profesor Datuk Dr Ahmad Rafi Mohamed Eshaq berkata, pihak MMU bersedia menawarkan jurusan tersebut kepadanya sekiranya layak selepas keputusan SPM diumumkan pada Mac depan.

ARTIKEL BERKAITAN: "Sebenarnya bapa saya hidap kanser tahap 4" - Calon pelajar cemerlang SPM tawar jadi tutor harga 'super murah'

“MMU prihatin terhadap nasib yang menimpa Adrianna Eva dan kami bersedia menawarkan tempat untuk beliau melanjutkan pengajian dalam jurusan perundangan sekiranya layak.

"Pada masa yang sama, MMU juga akan mempertimbangkan bantuan kewangan mengikut kelayakannya untuk sesi kemasukan akan datang,” kata beliau menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Antara bantuan kewangan yang ditawarkan adalah Biasiswa Presiden, Biasiswa Merit dan Biasiswa Kecemerlangan Sukan serta daripada organisasi atau yayasan yang bekerjasama dengan universiti tersebut.

Pihak MMU berbincang dengan Adrianna Eva tentang jurusan yang diminatinya.

Pelajar berkenaan turut diundang untuk mengikuti Program Pengalaman Universiti bagi merasai sendiri suasana belajar di kampus MMU Cyberjaya atau MMU Melaka pada hujung bulan ini.

Sementara itu, Adrianna Eva ketika dihubungi mStar Online berkata, dia langsung tidak menyangka bahawa posting yang dimuat naik di Twitter itu mampu memberikan kesan yang besar kepada hidupnya.

"Saya terkejut ketika menerima panggilan daripada MMU yang menjemput untuk bertemu dengan presidennya bagi membincangkan tentang jurusan yang saya idam-idamkan.

"Saya rasa sangat-sangat bersyukur dengan peluang yang diberikan," katanya yang turut terharu selepas dihujani dengan pelbagai mesej positif daripada pelbagai pihak.

Tambah anak sulung daripada empat beradik itu, guru-guru di sekolah lamanya, SMK Cyberjaya turut menghubunginya selepas kisah tersebut disiarkan.

Posting Adrianna Eva menerima reaksi positif daripada netizen.

"Sebelum ini, saya tidak pernah ceritakan tentang penyakit bapa saya, walaupun ketika menduduki SPM.

"Rasa agak sunyi bila mengulang kaji dengan bertungkus-lumus," ujarnya.

Adrianna Eva berusaha mencari pendapatan sendiri kerana enggan membebankan keluarga, memandangkan bapanya kini menderita kanser tahap empat.

mStar Online pada Khamis lalu melaporkan seorang calon pelajar cemerlang SPM 2018, mencuri tumpuan netizen apabila postingnya yang ingin menjadi tutor sambilan tular di Twitter.

Pelajar yang sedang menunggu keputusan SPM itu menawarkan dirinya untuk mengadakan kelas tuisyen peribadi pada harga serendah RM20 sejam kepada mereka yang berminat.

Gadis yang menetap di Putra Perdana itu juga menawarkan khidmat menulis nota pelajaran yang kreatif bagi membantu pelajar untuk mudah memahami sesuatu subjek pada harga permulaan RM2 hingga RM5 bagi dua muka surat penuh.

Adrianna Eva, MMU, tutor, cemerlang, kanser

Artikel Lain