suria

Hina Agong, pekerja Cisco Asean dipecat

Sultan Muhammad V.

PETALING JAYA: Susulan tekanan orang awam, Cisco Asean bertindak memecat seorang pekerjanya yang didakwa menghina institusi diraja di media sosial.

Menerusi satu kenyataan di halaman Facebooknya pada Selasa, Cisco Asean memberitahu, ia percaya dalam menghormati undang-undang dan tradisi tempatan.

"Kenyataan yang dibuat oleh seorang pekerja di atas kapasiti peribadinya dan tidak mewakili pandangan Cisco.

"Kami amat mengesali di atas sebarang kesulitan yang berlaku dan memohon maaf. Pekerja terbabit juga telah membuat permohonan maaf dan tidak lagi bersama dengan syarikat ini," katanya.

Cisco Asean merupakan ibu pejabat serantau bagi syarikat rangkaian, telekomunikasi dan teknologi gergasi, Silicon Valley.

Seorang pekerja Cisco Asean mencetuskan kekecohan di media sosial selepas membuat komen di Facebook mengenai laporan berita membabitkan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, yang meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Berikutan itu, rakyat Malaysia membuat tuntutan di halaman Facebook Cisco Asean supaya tindakan diambil terhadap pekerja berkenaan. - The Star

Artikel Lain