suria

"Sebenarnya bapa saya hidap kanser tahap 4" - Calon pelajar cemerlang SPM tawar jadi tutor harga 'super murah'

Adrianna merupakan calon pelajar cemerlang SPM di SMK Cyberjaya.

ENGGAN membebankan ibu-bapanya, calon pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018, Adrianna Eva Alfred Tais, 18, mencuri tumpuan netizen apabila postingnya yang ingin menjadi tutor sambilan tular di Twitter.

Pelajar yang sedang menunggu keputusan SPM itu menawarkan dirinya untuk mengadakan kelas tuisyen peribadi pada harga serendah RM20 sejam kepada mereka yang berminat.

Kata Adrianna Eva, dia memperoleh keputusan semua A bagi percubaan SPM yang lalu dan boleh mengajar subjek bahasa Inggeris, Sejarah, Sains, Geografi, Pendidikan Seni Visual dan Teori Muzik kepada pelajar tingkatan empat dan lima.

Posting Adrianna Eva mendapat reaksi positif daripada pelayar Twitter.

Gadis yang menetap di Putra Perdana itu juga menawarkan khidmat menulis nota pelajaran yang kreatif bagi membantu pelajar untuk mudah memahami sesuatu subjek.

Namun, di sebalik kesungguhan Adrianna Eva mencari duit poket sebagai persediaan masuk ke universiti, tersimpan satu episod duka yang membuatkan dirinya terdesak untuk berbuat demikian.

"Sebenarnya bapa saya menghidapi kanser tahap empat dan saya tidak mahu membebankan ibu dengan masalah kewangan.

"Biarlah ibu menggunakan sumber kewangan yang ada bagi merawat penyakit bapa saya," kata anak sulung daripada empat beradik itu ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.

Adrianna Eva menerima anugerah pendebat terbaik peringkat separuh akhir Wacana Keselamatan ICT Kebangsaan – Piala Cabaran CyberSAFE (NICTSeD) 2017

Jelas Adrianna Eva, dia berhasrat untuk melanjutkan pengajian dalam jurusan undang-undang di Universiti Multimedia Malaysia (MMU) atau Universiti Malaya (UM) bagi mengejar cita-citanya bergelar peguam.

Kata gadis itu, dia mendapat idea untuk menjadikan nota pelajaran sebagai pendapatan sampingan selepas mendapat permintaan daripada pelajar junior ketika masih bersekolah di SMK Cyberjaya.

"Dulu, ramai junior yang tertarik dengan nota pelajaran yang saya buat kerana ia mudah difahami.

"Ada yang minta saya jual, tapi saya terpaksa tolak kerana saya sendiri memerlukannya. Jadi, selepas habis sekolah saya terfikir kenapa tidak saya jadikan ia sebagai pendapatan sampingan," katanya yang menjual nota tersebut pada harga permulaan RM2 hingga RM5 bagi dua muka surat penuh.

Gadis ini turut menawarkan perkhidmatan menulis nota pelajaran kepada mereka yang berminat.

Harga nota tersebut juga bergantung kepada tahap kesukaran dan kepanjangan topik yang diminta oleh para pelanggan.

Setelah posting tersebut tular, kini Adrianna dihujani dengan puluhan 'direct message' (DM) daripada pelajar yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

"Setakat ini, sudah ada lima pelajar yang benar-benar berminat untuk jadi pelajar saya.

"Saya harap dengan cara ini, ia dapat membantu saya menjana pendapatan sementara menunggu keputusan SPM," ujarnya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
Adrianna Eva, tutor, kanser, SPM

Artikel Lain