suria

Kesian! Pelajar dimalukan, dicop penggodam gara-gara scammer Instagram tak pandai B. Inggeris

Siti Norhaifa merupakan pelajar jurusan multimedia di sebuah universiti swasta.

HANYA kerana mengucapkan "Sorry for your Instagram account" (simpati atas akaun Instagram anda) kepada seorang peniaga telefon atas talian, seorang pelajar dituduh menjadi dalang yang menggodam akaun pemilik 'Instashop' tersebut.

Niat asal Siti Norhaifa Hamzah, 20, ketika mengucapkan ungkapan itu adalah untuk menunjukkan rasa simpati terhadap peniaga berkenaan dan bukannya meminta maaf kerana menyebabkan akaun tersebut tidak dapat log masuk.

Pada awalnya, pelajar tahun dua Diploma Multimedia di universiti swasta itu tertarik apabila melihat peniaga tersebut mengiklankan telefon pintar terpakai pada harga sangat murah di Twitter.

Tanpa berfikir panjang, Siti Norhaifa menghantar pesanan menerusi WhatsApp untuk bertanya tentang telefon pintar tersebut, namun diberitahu stok sudah habis.

"Memang iklan itu di Twitter, tapi saya terbaca yang dia beritahu bahawa akaun Instagram miliknya digodam.

"Bila saya tahu telefon itu tiada stok, saya cuma ingin mengakhiri perbualan dengan sopan dan mengucapkan 'Sorry for your Instagram account'," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Siti Norhaifa berkongsi tentang insiden itu menerusi akaun Twitter miliknya.

Jelas gadis yang menetap di Shah Alam itu, dia tidak menyangka bahawa peniaga tersebut mengganggap ungkapan sorry itu merujuk kepada minta maaf sehingga ia menimbulkan salah faham.

Selepas beberapa jam, gadis itu dibanjiri dengan soalan daripada rakan-rakannya yang bertanya sama ada benar dia telah menggodam akaun seorang peniaga 'Instashop'.

Terkejut dengan tuduhan itu, Siti Norhaifa segera menghubungi semula peniaga terbabit dan bertanya sama ada individu itu memahami bahasa Inggeris.

"Ya, memang saya b***h bahasa Inggeris," jawab peniaga itu yang kemudian mengendahkan permintaan Siti Norhaifa agar membersihkan namanya.

Siti Norhaifa disangka penggodam gara-gara mengucapkan simpatan dalam bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, gadis itu bersyukur kerana tidak meneruskan pembelian telefon pintar terpakai daripada peniaga tersebut kerana model telefon bimbit yang diiklankan itu sebenarnya tidak wujud.

"Elok juga saya tidak jadi beli daripada dia kerana ramai yang cakap dia adalah scammer.

"Pada mulanya, saya rasa marah bila dia dedahkan nombor telefon dan wajah saya secara terbuka di Twitter. Tapi, lama-lama saya rasa kelakar. Itulah pentingnya English education (pendidikan bahasa Inggeris)," ujarnya.

Siti Norhaifa memuat naik mengenai insiden itu di Twitter pada Ahad bagi mengelakkan salah faham orang ramai terhadapnya.

Sehingga kini, posting tersebut menerima lebih 2,500 tanda suka dan diulang kicau sebanyak 5,248 kali.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
godam, instashop

Artikel Lain