suria

Semua OK, pegawai JPJ pun OK! Walau terhibur, netizen persoal "Macam tu ke buat RPK?"

GEMENTAR dan gemuruh pasti dirasai oleh sesiapa sahaja yang menjalani ujian praktikal bagi memperoleh lesen memandu.

Namun, seorang gadis mencuri perhatian apabila begitu teruja semasa melakukan rutin pemeriksaan kenderaan (RPK), iaitu salah satu piawaian penilaian ujian praktikal yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menerusi video yang tular di media sosial pada Rabu, gadis tersebut dengan ceria menyentuh semua peranti atau bahagian kenderaan sebelum menyebut ‘OK’.

“Minyak brek OK, minyak enjin OK, air tangki simpanan OK, air 'wiper' OK, air bateri OK, bateri OK, enjin OK...,” kata gadis itu yang terus melakukan pemeriksaan, sambil kebanyakan netizen terhibur dengan keletahnya dalam video tersebut.

Semakin lama disebut, semakin kecil dan nyaring suaranya menyebut item RPK dan selepas selesai dia ditanya sama ada pegawai juga ‘OK’, lalu dijawab: “Pegawai OK.”

“Aku terhibur,” kata seorang pengguna Facebook, Yana Hairudin.

Malah, netizen turut memberi komen mengenai suaranya yang begitu jelas dan nyaring sewaktu menyebut satu persatu item dalam senarai pemeriksaan itu.

“Dia memang kena cakap macam tu ke? Ke memang suara dia cakap yang macam kartun?,” soal pengguna Facebook, Fateka Abdul.

“Dah macam suara Nobita dah. Memang macam ni ke cara ambil lesen sekarang?,” ujar Al Malik Al Quddus secara berseloroh, merujuk kepada watak utama kartun dari Jepun, Doraemon.

Video berdurasi kira-kira tiga minit itu turut dikongsikan JPJ di halaman Facebooknya petang Rabu, yang menyatakan kekaguman mereka dengan pencapaian gadis berkenaan.

“Tahniah kepada calon ini, berjaya membuat Rutin Pemeriksaan Kenderaan (RPK) – ‘First Parade Task’. Ia perlu dilakukan sebelum memasuki kenderaan atau setiap kali bertukar kenderaan lain.

“Tindakan pemeriksaan perlu teratur mengikut arah pusingan jam bagi memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan selamat dipandu,” menurut posting JPJ.

Bagaimanapun, pada ruangan komen perkongsian video tersebut di Facebook JPJ, beberapa netizen mempersoalkan sama ada ia merupakan cara yang betul melakukan RPK.

“Ini cara yang betul ke untuk pastikan yang setiap peranti dalaman kenderaan berfungsi dengan baik? Hanya dengan sentuh dan jerit kata OK.

“Lagipun, calon ialah ‘pemandu’ yang tidak ada pengalaman memandu, jadi bagaimana dengan hanya ‘lihat dan sentuh’, dia boleh tahu yang ia dalam keadaan baik? 

“Bukankah kalau nak tahu ‘signal’ berfungsi atau tidak, pemandu kena nyalakan tuil di belakang stereng,” kata seorang netizen, Iean Zn.

Nor Syazwani Khalid turut mempersoalkan cara calon berkenaan melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan tersebut.

“Kenapa ringkas sangat ayat dia. Saya dulu siap buat ayat. Contoh, cermin dalam keadaan baik, tidak retak atau pecah, hahaha,” katanya.


Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
JPJ, RPK, lesen memandu

Artikel Lain