suria

Bapa umur 71 tahun merasa pandu kereta baharu, gugur air mata si anak

Bapa Wan, Hasim Abd Karim sebak ketika menerima kunci kereta Perodua Bezza. Foto kredit: Facebook Azie Haziyah

KEBIASAANNYA hadiah diterima ketika sambutan hari lahir atau sempena hari istimewa lain.

Namun buat pasangan warga emas Hasim Abd Karim, 71, dan Asmah Sam, 64, mereka menerima hadiah yang tidak disangka-sangka iaitu sebuah kereta Perodua Bezza daripada anaknya.

Anak lelakinya yang hanya ingin dikenali sebagai Wan, 35, membuat kejutan itu sebagai menghargai pengorbanan ibu-bapanya membanting tulang empat kerat demi membesarkan mereka lapan adik-beradik.

"Ayah besarkan kami hanya dengan bekerja sebagai peneroka Felda. Niat saya beli kereta untuk beri mereka satu kenangan manis selain nak balas jasa mereka.

"Asalnya hajat saya nak hantar mereka ke Makkah tapi tak sempat kerana mereka sudah menunaikan umrah duhulu.

"Kemudian saya berpakat dengan adik perempuan saya untuk belikan sebuah kereta baru dan setiap kali balik kampung saya 'risik' ciri-ciri kereta idaman ayah," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Video kegembiraan ibu bapanya itu dimuat naik di laman Facebook dan menerima lebih 6,000 tanda suka serta lebih 10,000 perkongsian.

Video kegembiraan yang dikongsikan di laman Facebook itu mendapat pelbagai reaksi positif dari netizen

Reaksi bapanya yang sebak ketika menerima hadiah berkenaan membuatkan ramai netizen tersentuh.

Bercerita lanjut, Wan berkata, kejutan itu dirancang bersama adik perempuannya Anie, 35, tanpa pengetahuan ibu-bapa dan adik-beradik lain semata-mata untuk memberikan kejutan kepada mereka.

"Saya tak jangka reaksi ayah begitu sehingga saya sendiri gugur air mata melihat kegembiraan ayah.

"Sebelum ini ayah tidak pernah merasa pandu kereta baru. Yang dia pakai semuanya kereta second hand. Kereta Kelisa sedia ada yang dibeli abang pula kebetulan sudah uzur dan kerap rosak.

"Anak-anak pula jauh untuk membantu. Sekurang-kurangnya selepas ini mudah untuk dia bergerak ke mana-mana," ujarnya.

Mengimbau pengorbanan bapanya, Wan berkata, insan istimewa itu banyak memberikan bantuan walaupun di luar kemampuan sambil menyifatkan dia seorang yang tegas namun penyayang.

"Ayah didik kami dari kecil untuk berdikari. Kami tak pernah dimanjakan dengan harta benda.

"Alhamdulillah, kami lapan beradik semuanya berjaya menamatkan pelajaran sehingga ada antara kami yang berjaya.

"Kalau dari kecil mereka boleh layan kerenah saya, mengapa di hari tua mereka saya tak mampu layan kerenah mereka, ujarnya.

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
hadiah, kereta, Perodua Bezza

Artikel Lain