suria

Tiada rancangan lakukan rombakan kabinet sekarang - Tun M

Dr Mahathir tidak merancang untuk melakukan rombakan kabinet.

PETALING JAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan bahawa tiada rancangan untuk melakukan rombakan kabinet buat masa ini.

"Saya tidak akan lakukan, tetapi mereka mungkin mahukannya, mereka mungkin mendesak, jadi saya perlu mempertimbangkannya.

"Bagi saya, saya belum membuat keputusan mengenai rombakan," kata Dr Mahathir kepada pemberita semasa sidang akhbar di Sidang Kemuncak Asean ke-33 di Singapura pada Khamis.

Ketika ditanya mengenai siapa 'mereka', beliau menamakan parti lain dalam pakatan Pakatan Harapan.

"Mungkin ada parti lain - PKR, DAP, atau Amanah," katanya.

Beliau berkata bahawa beliau enggan merombak Kabinet kerana ia masih baru dibentuk.

"Setahu saya, kita hanya baru enam bulan membentuk Kabinet, sukar untuk menilai prestasi Kabinet (dalam tempoh yang singkat).

"Saya tidak mahu mengubah sewenang-wenangnya kerana ia membawa kepada kurang keyakinan," katanya.

Mengenai soalan tentang keprihatinan orang ramai terhadap prestasi beberapa menteri dalam Kabinet, beliau menjawab bahawa para menteri perlu diberikan kesempatan untuk membuktikan diri mereka.

"Kita beri peluang kepada mereka, mereka baharu, kita perlu bercakap dengan mereka.

"Saya akui bahawa mereka tidak biasa jadi kerajaan, mereka sudah biasa jadi pembangkang.

"Jadi beberapa perkara yang mereka lakukan mencerminkan kedudukan mereka sebagai pembangkang sebelum ini," katanya. - The Star

rombakan kabinet

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain