suria

Pasangan pensyarah didakwa salah guna kuasa beli bekalan makmal daripada syarikat ibu

Muhammad Zulfattah dan isterinya, Norain (kedua-dua memakai topeng muka) dibawa ke mahkamah.

MELAKA TENGAH: Pasangan pensyarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengaku tidak bersalah di mahkamah sesyen di sini pada Khamis atas tuduhan salah guna kuasa mendapatkan bekalan makmal bagi tujuan penyelidikan daripada syarikat milik ibu mereka.

Kedua-dua tertuduh didakwa terlibat dalam menguruskan pembelian barang makmal bagi tujuan penyelidikan membabitkan nilai RM52,000 antara Julai 2015 dan Jun 2016.

Pasangan suami isteri, Muhammad Zulfattah Zakaria, 36, dan Norain Idris, 33, membuat pengakuan itu selepas jurubahasa membacakan pertuduhan berasingan terhadap mereka di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Muhammad Zulfattah didakwa atas kesalahan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan apabila terbabit menyediakan tiga sebut harga bernilai, RM19,986; RM19,975 dan RM9,102; bagi pembelian barang makmal dan perkhidmatan penyelidikan daripada syarikat HA Mega Supply milik ibu mertuanya.

Sementara itu, Norain didakwa terlibat sama menguruskan pembelian bekalan sama daripada syarikat sama, milik ibunya berjumlah RM3,498.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut nilai lebih tinggi.

Terdahulu, timbalan pendakwa raya, Irwan Shah Abdul Samat meminta mahkamah memberikan jaminan sebanyak RM80,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan terhadap Muhammad Zulfattah manakala RM10,000 kepada Norain serta beberapa syarat tambahan.

Bagaimanapun, peguam Rohaizad Kasim mewakili kedua-dua tertuduh merayu supaya jumlah jaminan dikurangkan atas alasan pasangan suami isteri yang berpendapatan RM9,000 sebulan itu perlu menanggung dua anak, dua ibu masing-masing serta seorang adik.

"Selain itu, simpanan gaji dalam Tabung Haji dibekukan sejak setahun lalu, selain tidak pernah gagal memberikan kerjasama kepada SPRM," katanya.

Mohd Nasir kemudian membenarkan Muhammad Zulfattah diikat jamin sebanyak RM30,000 manakala isterinya RM10,000 serta perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM Melaka. - Bernama

salah guna kuasa

Artikel Lain