suria

Rosmah mengaku tidak bersalah kes rasuah projek solar sekolah luar bandar

Rosmah mengaku tidak bersalah.

KUALA LUMPUR: Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM189 juta berhubung Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak.

Rosmah yang berbaju kurung hijau membuat pengakuan itu dihadapan hakim Azman Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama, Rosmah didakwa secara rasuah meminta bagi diri sendiri melalui Pegawai Khasnya Rizal Mansor satu suapan wang berjumlah RM187,500,000.00 bagi membantu syarikat Jepak Holdings Sdn Bhd mendapatkan projek tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Rosmah, Ku Nan akan didakwa di mahkamah sama

Bayaran itu merupakan 15 peratus daripada nilai kontrak projek berkenaan bernilai yang RM1,250,000,000 daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin secara rundingan terus.

Kesalahan itu didakwa berlaku antara Mac dan April 2016 di Lygon Cafe, G24 Groud Floor, Sunway Putra Mall, 100 Jalan Putra, Chow Kit.

Bagi pertuduhan kedua pula, Rosmah didakwa secara rasuah menerima bagi diri sendiri suapan wang berjumlah RM 1,500,000 daripada Saidi berhubung sebagai upah kerana membantu syarikat Jeepak Holdings mendapatkan projek tersebut secara rundingan terus.

Rizal (tengah).

Kedua-dua kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Umar Saifuddin Jaafar menawarkan jaminan sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin selain meminta tertuduh menyerahkan pasportnya ke mahkamah.

Tiada bantahan daripada pihak pembelaan berhubung jumlah jaminan namun peguam Gheetan Ram Vincent memaklumkan pasport anak guamnya telah diserahkan kepada mahkamah bagi kes sebelum ini.

Geethan juga memohon supaya jaminan itu dibayar secara ansuran dalam tempoh 10 hari.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM1juta dan membenarkan permohonan supaya bayaran jamin dibuat secara ansuran dalam tempoh seminggu.

Kes ditetapkan untuk sebutan pada 10 Disember 2018. - Sinar Harian

Rosmah Mansor

Artikel Lain