Hati-hati orang tak dikenali minta isi ‘borang kaji selidik’! - Semasa | mStar

Hati-hati orang tak dikenali minta isi ‘borang kaji selidik’!

Mangsa mendakwa dia diperdaya oleh scammer di pusat beli-belah berdekatan Bukit Bintang.

KUALA LUMPUR: Taktik para 'scammer' memperdaya mangsa dengan kaedah baharu dilihat sudah semakin licik.

Mereka mencari mangsa dengan meminta orang ramai menjawab borang kaji selidik di pusat beli-belah, kemudian membawa mereka ke tempat yang kurang sesak dan mengugut mangsa.

Seorang pereka grafik berusia 25 tahun menjadi mangsa penipuan di sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang baru-baru ini.

Mangsa berkata, seorang lelaki berusia 20-an bernama Vincent menghampirinya dan memintanya mengisi sebuah borang kaji selidik.

Scammer itu membawanya ke sebuah restoran Jepun, di mana dia kemudian disertai oleh dua lelaki lain.

"Selepas saya mengisi borang tersebut, mereka memberitahu saya bahawa mereka adalah sebahagian daripada perniagaan pengubahan wang haram dan mereka akan memberi saya RM20,000 jika saya memberikan mereka RM10,000," kata Leong pada sidang media di Wisma MCA pada Khamis.

Apabila wanita itu memberitahu mereka bahawa dia tidak mempunyai banyak wang, scammer tersebut mencadangkan agar mangsa memohon pinjaman peribadi daripada pemberi pinjaman wang.

"Mereka berkata, saya tidak dapat meninggalkan pusat membeli-belah itu jika saya tidak membayar mereka dan mereka akan menyakiti saya jika saya memberitahu sesiapa," katanya.

Leong meminjam wang daripada kawannya dan scammer tersebut membawa mangsa ke mesin ATM untuk mengeluarkan wang tersebut.

Mangsa akhirnya terpaksa akur dengan memberi mereka wang tunai RM5,000.

Kemudian, mangsa menerima panggilan daripada scammer terbabit yang menuntut baki jumlah wang yang dikehendaki mereka.

Leong kemudian membuat laporan polis dan memfailkan aduan kepada Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong. - The Star

scammer

Artikel Berikut

Rosmah, Ku Nan akan didakwa di mahkamah sama

Lebih Artikel

Kematian kanggaru 'sado' ditangisi

Melaka United sah ikat Safiq, Shukor