Malaysia tandus pemimpin berani bercakap benar? - Semasa | mStar

Malaysia tandus pemimpin berani bercakap benar?

Tun M dikenali sebagai pemimpin yang lantang bersuara.

SHAH ALAM: Pemerhati politik melihat Malaysia ketandusan pemimpin yang berani dalam menyuarakan perkara yang benar.

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata pemimpin di negara ini sudah hilang prinsip moral untuk bercakap benar.

“Sebab itu sebahagian pemimpin di Malaysia ini tidak berani untuk bercakap benar.

“Dalam konteks ini, pemimpin PH harus menjunjung tinggi integriti itu dan pada masa yang sama harus mempertajamkan kemahiran kepimpinan mereka dan memperluaskan pengalaman. Tanpa kriteria berkenaan sukar untuk mereka ungkapkan pendapat mereka dengan berani,” katanya.

Beliau mengulas titah Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menegaskan kepimpinan hari ini perlu lebih berani dan berwawasan bagi memenuhi cabaran mendatang.

Mengulas lanjut, Jeniri berkata rata-rata pemimpin tidak berani bercakap benar kerana menyimpan rahsia seperti pepatah Inggeris, ‘have a skeleton in the cupboard’ yang bermaksud seseorang mempunyai rahsia memalukan atau tidak menyenangkan tentang sesuatu yang berlaku pada masa lalu.

“Saya melihat, orang hanya berani kalau beliau seorang pemimpin yang mempunyai integriti dan prinsip moral yang tinggi. Orang itu tak akan berani kalau dia ada tulang dalam almari.

“Jadi, keberanian itu datang daripada perwatakan dan peribadi yang mulia dan nilai integriti yang tinggi serta nilai moral yang tidak ada tolok bandingnya. Kalau tak ada unsur berkenaan bagaimana mungkin beliau boleh jadi pemimpin yang berani mengkritik atau berkata sesuatu sebab orang akan pertikaikan kenyataannya itu?,” katanya.

Menurutnya, dalam konteks tersebut, pemimpin haruslah berani melakukan sesuatu perubahan dan memperkenalkan dasar yang tidak popular namun penting untuk membawa manfaat kepada rakyat di negara ini.

“Dari segi pemikiran harus ada keberanian intelektual kerana hanya dengan itu akan berlaku anjakan pada rakyat dan dasar-dasar utama negara. Kalau pemimpin itu bersifat populis dan tidak berani melakukan sesuatu yang dilihat tidak popular maka pada jangka masa panjang akan merugikan rakyat.

“Namun berani itu tetap harus berlandaskan Perlembagaan negara, menjaga adab dalam bertutur dan ayat yang digunakan haruslah mengikut adab serta budaya Melayu sesuai dengan sikap seorang pemimpin.

“Keberanian bukan bermakna harus membuat kenyataan atau melakukan sesuatu tanpa berasaskan undang-undang, adab budaya Melayu dan nilai-nilai Islam.

“Apa yang dituntut sekarang ialah berani melakukan sesuatu yang benar walaupun tidak popular. Bercakap benar ini kadang-kadang menghiris hati orang,” katanya.

Mengambil contoh keberanian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mengkritik Kesultanan Johor, beliau akui tindakan itu bukan satu perkara mudah.

“Macam Tun Mahathir berani mengkritik Sultan Johor. Ini bukan sesuatu yang mudah hanya pemimpin yang ada keberanian intelektual, berjiwa besar, bergerak di atas landasan undang-undang dan berpendirian apa yang dikatakan itu ialah sesuatu yang benar walaupun tidak disenangi pihak yang menjadi sasarannya.

“Itu saya fikir akan menyebabkan kita dapat melakukan perubahan di negara ini demi kemakmuran, kemajuan di negara ini.

“Jadi unsur konvensional, feudalisme dan unsur lain yang dianggap sebagai sensitif, seorang pemimpin itu harus berani bersuara kerana berapa orang sahaja yang berani bersuara terhadap mereka (berkedudukan) lebih tinggi daripada mereka atau menyuarakan sesuatu yang tidak disenangi oleh rakyat?,” katanya. - Sinar Harian

Dr Mahathir

Artikel Sebelum

Azmin akan bincang kedudukan Rafizi

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Dr Mahathir ucap Selamat Hari Deepavali