suria

Cabaran jatuh tersembam dianggap kotor, undang musibah...tapi ada yang dah buat!

PETALING JAYA: Tidak lama selepas berakhirnya Keke Challenge dan Dale Challenge, kini muncul pula satu trend baharu yang mula 'menyerang' negara kita.

Trend 'jatuh tersembam' yang dinamakan Falling Stars Challenge itu bermula di Rusia bulan lalu sebelum ia merebak dan menjadi ikutan di seluruh dunia.

Walaupun trend tersebut tiba agak lewat di negara ini, sudah ada beberapa individu yang meniru serta memuat naik foto Falling Stars Challenge versi mereka yang tersendiri.

Antara foto-foto cabaran tersebut yang dimuat naik ke laman sosial.

Cabaran tersebut memerlukan seseorang individu melakonkan aksi jatuh tersembam di sisi kenderaan dengan pelbagai barangan yang turut disepahkan bersama, kononnya ia terkeluar atau tercampak sewaktu terjatuh.

Namun, aksi tersebut turut dikaitkan dengan amalan menayang barang tertentu kerana kebanyakan individu yang melakukannya akan merakam foto di sisi kereta mewah mereka sambil memaparkan barangan berharga yang dimiliki.

Seperti yang dijangka, ia ternyata menerima reaksi negatif netizen yang rata-ratanya menganggap ia satu perbuatan yang tidak bermanfaat dan sekadar membazir masa sahaja.

Lebih teruk, ada netizen yang menyifatkan cabaran tersebut seperti gambaran buah nangka busuk yang gugur dari pokok.

Mereka turut memaparkan pelbagai barangan berharga seperti wang menerusi cabaran itu.

"Orang nak mengelakkan musibah, diaorang ni mengundang dan menjemput musibah," tulis Hasz Ramli menerusi ruangan komen di Facebook.

"Nampaknya kita dah masuk zaman yang mana setiap perbuatan akan ditiru sehasta demi sehasta sejengkal demi sejengkal dan jika mereka masuk lubang biawak pun akan diikut juga," tulis C-zaila MN pula.

"Pengotor orang jenis gini, jalan tu bekas taik anjing, bekas orang meludah, orang kencing, air sampah, air jamban tersumbat pastu korang baring atas tu," tulis seorang lagi netizen.

Tinjauan mStar Online di media sosial menerusi carian tanda pagar #TheFallingStars turut memperlihatkan lambakan foto cabaran itu sudah dilakukan di seluruh dunia.

Berikut kami sajikan beberapa gambar Falling Stars Challenge yang paling kreatif dan menarik.

Artikel Berikut

Artikel Lain