suria

Mael buat kejutan, tolong Ferris jual air kotak

Maskot 'Mael' datang membantu Syed Ferris berniaga air kotak pada Ahad lalu. - Instagram/Lescopaque

PETALING JAYA: Siapa tidak seronok apabila figura kesayangan datang membuat kejutan untuk memberikan sokongan terhadap apa yang dilakukan sejak beberapa minggu lalu.

Lebih-lebih lagi kejutan itu dibuat ketika berada di tempat 'kerja'.

Syed Ferris Iskandar Syed Akramin tidak menyangka maskot 'Mael' daripada siri animasi popular Upin & Ipin hadir bertemu dengannya selepas kisah mengenai kanak-kanak berusia tujuh tahun itu tular di media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Watak Mael siri Upin & Ipin suntik inspirasi usahawan cilik

Bapanya, Syed Akramin Syed Harith, 36, berkata, 'Mael' datang ke taman permainan yang menjadi lokasi anaknya berniaga untuk memberi sokongan moral.

"Kru Les' Copaque datang pada Ahad bawa maskot 'Mael' untuk beri sokongan moral kepada anak saya.

"Kru tersebut maklumkan kepada saya lebih awal tetapi meminta agar ia dirahsiakan kerana ingin membuat kejutan kepada Ferris," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Syed Ferris mengikut jejak langkah watak animasi kegemarannya si 'Mael'.

Kata Syed Akramin, maskot tersebut turut membantu anaknya menjual air kotak di taman permainan itu selama 30 minit.

Kira-kira 120 air kotak yang dibawa pada hari tersebut laku dijual dalam tempoh dua jam.

Tambah bapa yang bergelar arkitek itu, kru Les' Copaque turut menghadiahkan pelbagai cenderahati animasi Upin & Ipin kepada anaknya.

"Anak saya ada suarakan keinginan untuk meniaga di taman lain pula, mungkin dia nak cuba menjual di tempat baru.

"Dia seronok lakukan aktiviti ini dan siap tanda pada kalendar hari untuk dia berniaga," katanya yang mengehadkan aktiviti tersebut dilakukan pada Ahad sahaja agar tidak mengganggu pelajaran anaknya.

Kata bapa tersebut, duit yang diperolehi Syed Ferris Iskandar daripada perniagaan tersebut disimpan anaknya itu untuk kegunaan masa akan datang.

'Mael' merupakan watak dalam animasi Upin & Ipin yang gemar berniaga.

Tambah Syed Akramin, ramai ibu bapa yang menghubunginya memberitahu bahawa kisah kesungguhan anaknya mencari wang saku sendiri itu memberikan inspirasi kepada ibu bapa lain untuk melakukan perkara yang sama.

Pada 7 Ogos, mStar Online melaporkan watak Mael dalam siri animasi popular Upin & Ipin menjadi inspirasi kepada seorang kanak-kanak untuk menjadi usahawan muda.

Murid Tahun Satu itu mengikut jejak langkah watak animasi kegemarannya itu dengan berniaga air kotak di sebuah taman permainan di Kajang 2, Selangor.

Artikel Lain