suria

Kerajaan perkenal sistem baharu untuk pengambilan pekerja asing

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membina satu sistem baharu untuk mengambil pekerja asing tanpa mengira negara asal mereka, ujar Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Bangladesh, Nepal atau mana-mana sahaja, mereka akan guna sistem sama sahaja," kata Perdana Menteri dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pekerja asing di Parlimen, Selasa.

Sejajar dengan keputusan itu, Dr Mahathir berkata kerajaan telah menggantung sistem yang diguna pakai sekarang.

"Sebelum ini hanya 10 ejen dibenarkan untuk memproses permohonan daripada mereka yang mahu datang ke sini dari Bangladesh.

"Ia menyebabkan situasi monopoli dengan sesetengah ejen mengenakan bayaran sehingga RM20,000.

"Jadi kita mahu buka peluang ini kepada semua ejen agar ada persaingan," ujarnya.

Baru-baru ini, The Star melaporkan kes sindiket penyeludupan manusia yang diterajui seorang ahli perniagaan Bangladesh yang didakwa mempunyai hubungan politik dengan Kementerian Dalam Negeri, memperoleh sekurang-kurangnya RM2 bilion dalam masa dua tahun dari pekerja Bangladesh yang mencari pekerjaan di Malaysia.

Siasatan mendedahkan pekerja membayar RM20,000 setiap seorang kepada ejen tempatan yang kemudian membayar separuh daripada jumlah itu kepada sindiket berkenaan untuk memudahkan kelulusan permit kerja dan tiket penerbangan ke Malaysia.

Difahamkan sejak akhir 2016, lebih 100,000 pekerja Bangladesh dibawa ke negara ini melalui sistem tersebut manakala lebih 100,000 lagi masih menunggu giliran mereka.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata kerajaan juga akan menandatangani perjanjian persefahaman dengan Nepal berkaitan pekerja asing tidak lama lagi.

"Kita mahu ada persetujuan antara kerajaan seperti mana kita dengan Bangladesh, tetapi ia akan menggunakan sistem yang sama," tambahnya lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain