suria

TnG henti jual peranti SmartTAG, rancang perkenal RFID di seluruh negara

TOUCH 'n Go dan pemegang konsesi lebuh raya menjangkakan akan melaksanakan sistem pengecaman frekuensi radio (RFID) untuk pembayaran tol di seluruh negara bermula Januari tahun depan.

Sistem itu menggunakan pelekat yang dibenamkan bersama cip frekuensi radio yang akan ditampal pada kenderaan.

Pelekat tersebut yang unik bagi setiap kenderaan akan dihubungkan dengan aplikasi Touch ‘n Go eWallet.

Aplikasi itu membenarkan pengguna untuk menyemak baki atau menambah kredit menerusi perbankan dalam talian dan kad kredit atau debit dengan lebih mudah.

Pelaksanaan bayaran tol menggunakan sistem RFID bukanlah baharu kerana ia sudah diperkenalkan di beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Argentina dan Taiwan.

Pelekat RFID dijangka akan menggantikan penggunaan peranti SmartTAG.

Seiring dengan perancangan untuk memperkenalkan RFID, Touch ‘n Go tidak lagi menjual peranti SmartTAG di kesemua saluran yang diberi kuasa olehnya (authorised channels) berkuat kuasa pada Rabu.

Bagaimanapun, peranti SmartTAG sedia ada masih boleh digunakan di semua lebuh raya.

Sebagai tambahan, pengguna lebuh raya boleh terus menggunakan kad Touch ‘n Go dan MyKad untuk membuat bayaran tol seperti biasa.

Bermula September ini, Touch ‘n Go akan memperkenalkan fasa awal RFID ke atas orang awam yang berminat untuk mencuba sistem tersebut.

Dapatan daripada percubaan itu akan membantu Touch ‘n Go melaksanakan penambahbaikan pada sistem RFID sebelum ia dilaksanakan tahun depan.

Mereka yang berminat boleh mendaftar dengan memberikan butiran peribadi ke laman web touchngo.com.my.

RFID

Artikel Lain