suria

Penyembur Anti-HFMD tiada bukti kukuh mampu basmi 99% kuman

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menerima aduan tentang produk penyembur Anti-HFMD/Flu Spray yang mendakwa mampu membunuh sehingga 99 peratus kuman.

Produk dipanggil Thymos untuk kegunaan luaran yang boleh disembur ke atas pakaian, permukaan, permainan dan topeng itu diperbuat daripada mineral yang diaktifkan.

Pengeluar produk tersebut mendakwa pada ruang label bahawa ia membasmi 99.99 peratus kuman serta merta, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

"Buat masa ini, pihak syarikat didapati membuat tuntutan anti HFMD yang tidak berasas kerana tiada bukti yang kukuh menunjukkan tuntutan tersebut adalah berkesan seperti dilabelkan.

"Namun begitu, memandangkan produk ini tidak digunakan secara langsung pada manusia, maka produk ini bukanlah di bawah kawalan KKM dan tiada keperluan untuk pendaftaran di bawah agensi berkaitan di bawah KKM," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

Dr Noor Hisham berkata, syarikat tersebut dinasihatkan agar memadam dakwaan berkenaan untuk pasaran Malaysia dan menggantikannya dengan dakwaan yang bersifat lebih umum bagi mengelak berlaku kekeliruan.

"KKM ingin mengingatkan orang awam agar tidak mudah percaya dengan tuntutan perubatan yang dibuat pada produk ini," kata beliau.

Dalam pada itu, orang awam disarankan untuk mengamalkan lima perkara utama dalam pencegahan dan kawalan HFMD iaitu penjagaan kebersihan diri, amalan cuci tangan yang betul, penjagaan kebersihan persekitaran, pemeriksaan atau saringan di pintu masuk taska/tabika/tadika/pra-sekolah; dan disinfeksi atau nyahkuman permukaan yang tercemar.

HFMD

Artikel Lain