suria

Malaysia hilang kelebihan ekonomi tanpa GST, ini jawab Saifuddin!

KUALA LUMPUR: Datuk Saifuddin Nasution Ismail (gambar) menyangkal dakwaan dibuat oleh bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa negara akan kehilangan kelebihan ekonomi susulan penghapusan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata, negara ini telah menggunakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebelum 2015, namun masih boleh menguruskan pembangunan dan ekonomi negara.

"Jadi, apa masalah ekonomi yang kita hadapi ketika itu?" katanya kepada pemberita di lobi Parlimen pada Rabu.

Beliau mengulas kenyataan Najib yang mendakwa negara akan kehilangan kelebihan ekonomi, pemangkin kepada pembangunan dan daya saing yang berjaya dicapai dengan GST.

"Masalah dan kelemahan struktur ekonomi lama seperti cukai korporat yang tinggi, pengelakan cukai dan pengeluaran dana haram; akan berlaku lagi," kata bekas menteri kewangan itu dalam kenyataan di Facebook.

Saifuddin berkata, infrastruktur, pembangunan, pengagihan bantuan kepada rakyat masih boleh dilaksanakan dengan disiplin kewangan yang baik.

"Pengurusan kewangan kita bagus dan hutang negara terkawal.

"Walaupun kami tidak mengutip hasil sebanyak GST, kami yakin kita akan memacu ekonomi, melindungi kebajikan rakyat, bayar gaji dan pelaksanaan projek," kata beliau.

Ketika ditanya tentang tindakan yang akan diambil sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) berkenaan SST tidak melalui Senat, Saifuddin berkata, Kementerian Kewangan melihat kepada beberapa pilihan yang sah disisi undang-undang sebagai 'pintu keluar' untuk menyelesaikan isu tersebut.

"RUU yang dikategorikan sebagai RUU wang, ada cara untuk kami bawa ia ke depan dan menteri kewangan sedang meneliti perkara ini," kata beliau.

GST

Artikel Berikut

Artikel Lain