suria

Najib mengaku tidak bersalah

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas tiga pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM42 juta ke dalam akaun miliknya.

Pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Najib berdepan tiga tuduhan baharu iaitu menerima RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta yang diperolehi daripada aktiviti haram ke dalam akaun peribadinya dalam tiga transaksi berasingan.

Kesalahan pertama dan kedua didakwa dilakukan di AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan pada 26 Disember 2014 manakala kesalahan ketiga dipercayai dilakukan di tempat sama pada 10 Februari 2015.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4 (1)(b) AMLA 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4 (1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi yang membenarkan permohonan oleh pihak pendakwa untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan diwakili Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria manakala pasukan pembelaan diwakili Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Mohd Hanafiah memohon untuk tiga pertuduhan itu dibicarakan secara bersama dengan empat pertuduhan lain di Mahkamah Tinggi 3 sebelum ini.

Najib Tun Razak, AMLA

Artikel Lain